UNITED Kingdom semalam menarik balik sekatan perjalanan ke atas pengembara dari 47 negara ke England bermula 11 Oktober ini.
Larangan tersebut sebelum ini dikuatkuasakan bagi membendung penularan Covid-19.
Hanya tujuh negara kekal dalam senarai sekatan iaitu Columbia, Republik Dominica, Ecuador, Haiti, Panama, Peru dan Venezuela.
Antara negara yang dikeluarkan dari ‘senarai merah’ UK termasuk Brazil, Mexico dan Afrika Selatan. Ini bermakna pengembara tidak perlu lagi menjalani kuarantin wajib di hotel.
Setiausaha Pengangkutan Britain Grant Shapps berkata penarikan balik sekatan ke atas 47 negara itu susulan program vaksinasi Covid-19 yang kian meningkat di seluruh dunia.
Kerajaan juga katanya memperluaskan kebenaran kemasukan pengembara yang lengkap divaksin dari 37 lagi negara dan wilayah termasuk India dan Turki.
Pengembara yang telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 dikecualikan menjalani kuarantin, ujian saringan sebelum berlepas dan pada hari kelapan selepas ketibaan di England. – AFP, 8 Oktober, 2021.
Komen