Jawatan timbalan speaker ketiga mesti demi reformasi Parlimen, tegas Nga


Raevathi Supramaniam

Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming kemuka 10 cadangan pembaharuan Parlimen sekiranya beliau dipilih sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Oktober, 2021.

JAWATAN timbalan speaker Dewan Rakyat ketiga harus diwujudkan sebagai salah satu daripada proses pembaharuan Parlimen, bukan semata-mata atas kepentingan politik, kata Nga Kor Ming.

Jawatan tersebut mesti disertai dengan mewujudkan dewan kedua supaya isu-isu khusus yang dibangkitkan ahli Parlimen dapat dijawab secara langsung oleh menteri berkaitan, tambah ahli Parlimen Teluk Intan.

“Usah wujudkan jawatan hanya demi kepentingan politik, tujuan itu tidak wajar.

“Ia mesti diiringi dengan pakej pembaharuan. Bermakna, kerajaan mestilah bersetuju untuk mewujudkan dewan kedua,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mewujudkan dewan kedua adalah antara 10 cadangan pembaharuan Parlimen yang digariskan Nga sekiranya beliau dipilih sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat. Pengerusi DAP Perak itu pernah menyandang jawatan sama ketika Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan.

Jawatan timbalan speaker Dewan rakyat kosong selepas Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said meletak jawatan pada 23 Ogos lalu. Azalina telah dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi hal ehwal undang-undang dan hak asasi manusia.

Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar bulan lepas berkata kerajaan akan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menambah seorang lagi timbalan speaker Dewan Rakyat kepada tiga, yang mungkin seorang daripadanya daripada pembangkang.

Pindaan katanya, membabitkan Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan untuk menambah jumlah jawatan itu daripada dua kepada tiga.

Perikatan Nasional semalam mengambil pendirian bahawa tiada keperluan mewujudkan satu lagi jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat pada masa ini.

Pengerusinya Muhyiddin Yassin berkata pindaaan Perlembagaan Persekutuan untuk menambah jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat tidak termaktub dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan PH.

“Perikatan Nasional berpendirian bahawa persefahaman antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama dan termaktub secara jelas dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara perdana menteri dan pimpinan Pakatan Harapan pada 13 September.

“Pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum persefahaman tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Bagi Nga, kewujudan timbalan speaker ketiga Dewan Rakyat akan melancarkan proses pembaharuan Parlimen dan isu rakyat yang dibagkitakan dapat diuruskan dengan lebih baik.

“Misalnya, ahli Parlimen Sabah sedang bercakap tentang jalan raya di Tuaran dan ahli Parlimen Johor Bahru yang tiada kena mengena pun mendengar di dalam Dewan.

“Bukankah ini membuang masa? Mengapa tidak bangkitkan satu-satu isu di dewan kedua dan ia didengar oleh menteri yang bertanggungjawab yang kemudiannya memberikan jawapan penyelesaian?

“Ini akan memanfaatkan rakyat kerana apabila ahli Parlimen bangkitkan isu di dewan kedua, ia akan ditangani secara khusus dan diselesaikan ketika itu juga, manakala dewan utama dikhaskan hanya untuk membahaskan isu-isu negara,” kata Nga. – 8 Oktober, 2021. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen