Majlis Presiden Pakatan perlu tentukan logo untuk PRU15, kata Nga


Raevathi Supramaniam

Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming berkata Majlis Presiden Pakatan Harapan perlu segera membuat keputusan mengenai penggunaan logo PRU15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Oktober, 2021.

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu segera membuat keputusan mengenai penggunaan logo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk bersiap sedia segala kemungkinan akan datang, kata Nga Kor Ming.

Walaupun tidak ada jawapan yang benar-benar tepat untuk masalah ini, ahli Parlimen Teluk Intan berkata keputusan itu harus segera dicapai.

“Ini adalah masalah yang harus dipertimbangkan dan keputusan harus dibuat. Tidak ada keputusan yang sempurna tetapi keputusan terburuk adalah tidak ada keputusan.

“Untuk bersiap sedia, saya rasa penting majlis presiden memutuskan secepat mungkin agar semua pihak dapat bertenang dan bersiap sedia untuk pertempuran yang sebenarnya,” kata Nga kepada The Malaysian Insight.

Penggunaan logo PH pada PRU15 adalah isu yang diperdebatkan kerana ahli dalam PKR, ahli gabungan PH menuntut logo parti itu digunakan dalam PRU15.

PKR Wilayah Persekutuan mendesak agar logo dan bendera parti PKR digunakan oleh calon dalam pilihan raya akan datang bukan bukannya logo PH. Seruan serupa juga dibuat oleh pemimpin PKR di Pahang baru-baru ini.

Pemimpin pemuda Pakatan Howard Lee berkata majlis presiden gabungan itu memutuskan semua pihak harus menggunakan logo PH dan oleh itu semua parti dalam gabungan mesti berpegang pada keputusan itu.

Lee dikritik oleh pemuda PKR, Syukri Razab berikutan kenyataannya yang dianggap terburu-buru.

Syukri berkata Lee sepatutnya menunggu Pakatan Harapan (PH) membuat pengumuman rasmi mengenai perkara itu lebih-lebih lagi Majlis Presiden PH belum memutuskan apa-apa  berhubung isu logo berkenaan.

Nga berkata walaupun ada pihak berpendapat penggunaan logo PKR pada pilihan raya lalu adalah alasan kemenangan mereka, itu tidak mungkin untuk menghentikan Pakatan dari menggunakan logo sendiri sekarang.

“Tidak ada jawapan mutlak mengenai logo mana yang terbaik. Berdasarkan pelbagai kajian di lapangan, ada yang lebih suka PKR berdasarkan hujah yang kami menang, oleh itu mengapa tidak mengulanginya.

“Jika itu adalah gabungan, kita harus melihat politik gabungan. Untuk memiliki logo umum yang diterima oleh semua kaum, adalah menjadi tanggungjawab semua pemimpin PH mempromosikan logo PH jika kita memutuskan untuk menggunakannya. Sama sepert penimbang yang digunakan oleh Barisan Nasional selama 60 tahun.

“Kita tidak boleh mengatakan logo ini baharu, oleh itu kita tidak boleh menggunakannya, ia adalah tugas semua orang untuk melindunginya, menjadikannya pilihan utama semua rakyat Malaysia,” tambah Nga. – 8 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen