Asean gesa tingkatkan kerjasama vaksinasi, kesihatan mental


Menteri Luar II Brunei Erywan Mohd Yusof yang juga Duta Khas Asean ke Myanmar berkata semua anggota Asean perlu meningkatkan kerjasama dalam usaha vaksinasi Covid-19 dan menangani masalah kesihatan mental. – Gambar EPA, 7 Oktober, 2021.

MENTERI Luar II Brunei Erywan Mohd Yusof menggesa semua anggota Asean meningkatkan kerjasama dalam usaha vaksinasi Covid-19 dan menangani masalah kesihatan mental.

Erywan, yang juga Duta Khas Asean ke Myanmar berkata usaha itu akan menyumbang kepada pembangunan masyarakat untuk melindungi kesejahteraan rakyat Asean daripada aspek fizikal dan mental.

Meskipun ia nampak meyakinkan apabila melihat banyak negara di rantau ini melaksanakan program vaksinasi secara meluas untuk penduduk masing-masing namun, masih banyak yang belum memperoleh manfaat yang sama.

Justeru, adalah amat penting untuk mempercepat usaha memastikan akses vaksin yang adil, selamat, berkesan dan berpatutan untuk semua, katanya ketika berucap di Forum Kepimpinan & Kerjasama Asean 2021 secara maya, hari ini.

Dalam usaha untuk menyokong infrastruktur ekonomi serantau, beliau berkata amat penting bagi blok itu untuk terlebih dahulu melindungi “kuasa pertumbuhan” - iaitu rakyat. 

“Oleh itu, vaksinasi penduduk kita adalah satu cara untuk membuka ekonomi kita dan menghubungkan rantau ini dengan mempermudah pergerakan orang termasuk perjalanan perniagaan dan pelancongan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya pandemik ini juga telah menjejaskan kesihatan mental dan kesejahteraan orang dewasa, remaja, dan kanak-kanak.

“Kita mesti mengambil tindakan awal untuk menangani isu ini kerana kita akan melihat krisis kesihatan mental akan menjadi lebih besar daripada pandemik ini dalam tempoh 10 ke 15 tahun lagi.

“Oleh itu, kita (Asean) menantikan pelaksanaan kenyataan pemimpin Sidang Kemuncak Asia Timur mengenai kerjasama kesihatan mental pada Sidang Kemuncak Asia Timur yang akan datang,” katanya sambil menambah memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sangat penting dalam menentukan hala tuju pemulihan ekonomi yang mampan.

Forum bertemakan “Rebuilding ASEAN Towards Sustainable Recovery” itu anjuran bersama KSI Strategic Institute for Asia Pacific dan Economic Club Kuala Lumpur.

Ucaptama forum disampaikan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Nancy Shukri. – Bernama, 7 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen