China adakan promosi Olimpik Musim Sejuk Beijing di Paris


Pameran Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 di Paris dapat mempromosikan temasya sukan berkenaan serta perkembangan terbaharu kebudayaan dan pelancongan China. – Gambar EPA, 7 Oktober, 2021.

RUANG pameran yang dikendalikan China bertemakan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, berjaya mencuri perhatian pengunjung di Pameran Pelancongan Antarabangsa Paris ke-42 yang membuka tirai pada Selasa.

Pameran itu dijadual berlangsung empat hari di Paris Expo Porte de Versailles.

Menurut pejabat pelancongan China di Paris, menerusi pameran itu China dapat mempromosikan temasya sukan berkenaan serta perkembangan terbaharu kebudayaan dan pelancongan China kepada pihak profesional yang terlibat dengan industri pelancongan Perancis dan penduduk tempatan.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah promosi program pelancongan secara hibrid, komunikasi melalui plaform media baharu, penghayatan VR dan pameran makanan tradisional Cina.

Selain itu, ruang pameran China turut mengaplikasi platform penstriman dengan mengundang penggiat industri pelancongan Perancis untuk berkongsi pengalaman mereka ketika melancong ke China.

Turut diadakan sesi soal jawab mengenai Olimpik Musim Sejuk Beijing, program pelancongan di sekitar Beijing dan produk terbaharu pelancongan lain di China.

Pameran pelancongan itu berjaya menarik penyertaan lebih 200 negara dan kawasan serta lebih 1,700 syarikat pelancongan, dengan jumlah penggiat industri pelancongan kira-kira 34,000 orang. – Bernama, 7 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen