AMERIKA Syarikat memberi amaran kepada Pakistan supaya berusaha lebih keras untuk melumpuhkan kumpulan pengganas Taliban dan Haqqani, ketika ia menambah enam lagi pemimpin tertinggi kumpulan itu dalam senarai sekatannya.
Perbendaharaan negara itu mengatakan lima daripada enam individu itu didakwa mengumpul dan memindahkan dana, peralatan dan bahan-bahan berkaitan bagi menyokong operasi kumpulan berkenaan, sementara seorang lagi adalah pegawai hal ehwal ketenteraan kanan Taliban.
Sekatan itu mengharamkan warga atau syarikat yang wujud di AS daripada menjalankan sebarang urusan dengan mereka.
“Kami mensasarkan enam individu berkaitan dengan Taliban atau Jaringan Haqqani yang terlibat dalam serangan ke atas tentera bersekutu, penyeludupan individu, atau membiayai kumpulan pengganas ini,” kata Sigal Mandelker, setiausaha kedua perbendaharaan untuk keganasan dan perisikan kewangan.
“Kerajaan Pakistan perlu bekerjasama dengan kami untuk melumpuhkan pergerakan Taliban dan Jaringan Haqqani dan secara agresif mensasarkan pembiayaan kewangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiga daripada empat pemimpin Taliban yang dimasukkan dalam senarai itu, Abdul Qadeer Basir Abdul Baseer, Abdul Samad Sani dan Hafiz Mohammed Popalzai bekerja di bawah Ketua Kewangan Taliban, Gul Agha Ishakzai.
Di bawah arahan Gul, mereka mengutip dana daripada penyeludup dadah, batu permata, wang tebusan dan derma untuk diberikan kepada pengganas Taliban, katanya lagi.
Individu keempat, Maulawi Inayatullah dikenalpasti sebagai pemimpin tentera Taliban yang bertanggungjawab dalam pelbagai serangan termasuklah serangan ke atas tentera bersekutu dan tentera Afghanistan di Kabul pada 2016.
Dua lagi yang dimasukkan dalam senarai itu- Faqir Muhammad dan Gula Khan Hamidi- dikatakan membantu kumpulan pengganas Haqqani di Pakistan untuk mendapatkan dana serta membantu pengganas memasuki Timur Tengah dan negara lain.
Muhammad dianggap pembiaya utama Haqqani, Hamidi pula dianggap individu utama yang menguruskan jaringan Haqqani di luar rantau itu, meliputi Syria, Iran dan Turki serta bekerjasama dengan Al-Qaeda.
Selain itu, kata Perbendaharaan lagi, Hamidi “terlibat bertahun lamanya untuk menguruskan perjalanan dan aktiviti penyeludupan, termasuklah bekerjasama dengan penyeludup di Iran untuk menguruskan perjalanan pengganas dari Afghanistan ke Eropah pada hujung 2017.” – AFP, 26 Januari, 2018.
Komen