GABENOR Kepulauan Riau Indonesia Ansar Ahmad berkata skim “gelembung perjalanan” dengan Singapura, yang awalnya dijadualkan pada Oktober 2021, dibatalkan berikutan lonjakan kes Covid-19 di negara itu, lapor Agensi Berita Vietnam.
Pada 6 Oktober Ahmad dilaporkan berkata pentadbiran Kepulauan Riau berhasrat menarik pelancong domestik ke wilayah itu sementara menunggu keputusan kerajaan pusat untuk meneruskan skim gelembung perjalanan antara wilayah itu dan Singapura.
Kerajaan wilayah menghantar surat rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri dan Badan Mitigasi Bencana Nasional, yang mengesyorkan kelonggaran terhadap syarat sijil ujian Covid-19 untuk melakukan perjalanan antara wilayah.
Gabenor itu berkata lokasi pelancongan di Kepulauan Riau dibuka kembali berikutan peningkatan tahap penguatkuasaan larangan aktiviti (PPKM) ke Tahap Satu.
Beliau memberi jaminan kawasan pelancongan tempatan menerapkan protokol kesihatan yang ketat untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pengunjung dan mencegah kemunculan kluster jangkitan Covid-19.
Pada 4 Oktober, kerajaan Indonesia memaklumkan mulai 14 Oktober, Bali akan dibuka semula kepada pelancong dari enam negara, iaitu Republik Korea, China, Jepun, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan New Zealand. – Bernama, 7 Oktober, 2021.
Komen