Presiden Mesir, Palestin bincang proses damai Palestin-Israel


Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi semalam mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas untuk membincangkan proses perdamaian antara Palestin dan Israel. – Gambar AFP, 7 Oktober, 2021.

PRESIDEN Mesir Abdel-Fattah al-Sisi semalam mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas untuk membincangkan proses perdamaian antara Palestin dan Israel, lapor Xinhua.

“Kedua-dua pemimpin mengkaji semula perkembangan terkini perjuangan Palestin dan proses perdamaian,” menurut pejabat presiden Mesir dalam satu kenyataan.

Sisi berkata usaha negaranya berkoordinasi dengan rakyat Palestin untuk menghidupkan kembali proses damai bertujuan mengembalikan hak rakyat Palestin dan mewujudkan keselamatan serta kestabilan di rantau itu.

Abbas memuji hubungan Mesir-Palestin dan Palestin menghargai usaha serta ikhtiar Mesir untuk meningkatkan perjuangan Palestin dan mencapai penyelesaian yang adil dan komprehensif.

Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meneruskan koordinasi dan perbincangan dua hala berhubung isu kepentingan bersama.

Terdahulu, Hamas menyifatkan  suasana perbincangan dengan Ketua Perkhidmatan Perisikan Awam Mesir Abbas Kamel di Kaherah adalah positif.

Kedua-dua pihak membincangkan beberapa isu berkaitan perkembangan politik, hubungan dua hala, mencapai perpaduan Palestin, dan menyusun semula hal ehwal dalaman Palestin.

Delegasi Hamas, diketuai ketua politburo Ismail Haniyeh dan pemimpin di Semenanjung Gaza Yahya Sinwar, tiba di Kaherah pada Ahad dan mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan perisik keselamatan Mesir.

Pada 21 Mei, Mesir menjadi orang tengah usaha gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza, mengakhiri ketegangan yang menyebabkan lebih 250 Palestin dan 13 Israel terbunuh. – Bernama, 7 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen