Iran bimbang kehadiran Israel di Caucasus


Pada Jumaat, pasukan darat Iran memulakan latihan ketenteraan berhampiran sempadan, langkah yang dikritik Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev. – Gambar EPA, 6 Oktober, 2021.

IRAN pada Rabu berkata ia bimbang mengenai kehadiran Israel di Caucasus, ketika ketegangan antara Iran dan Azerbaijan memuncak berikutan hubungan Baku dengan Israel, pembekal senjata utama.

Komen itu muncul sehari selepas laporan yang tidak disahkan di media Azerbaijan mengatakan Iran telah menutup ruang udaranya untuk pesawat tentera Azerbaijan.

“Kami pasti tidak akan bertolak ansur dengan perubahan geopolitik dan perubahan peta di Caucasus,” kata Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian kepada wartawan di Moscow.

“Kami risau dengan kehadiran pengganas dan Zionis di rantau ini.”

Sejak pertengahan September, ketegangan meningkat antara Iran dan Azerbaijan, yang mempunyai sempadan sejauh 700 kilometer.

Israel adalah pembekal senjata utama ke Azerbaijan, yang tahun lalu memenangi perang enam minggu dengan jiran Armenia atas wilayah Nagorno-Karabakh yang dipertikaikan.

Pada Jumaat, pasukan darat Iran memulakan latihan ketenteraan berhampiran sempadan, langkah yang dikritik Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev.

Sehari sebelum latihan dilancarkan, Amir-Abdollahian memberitahu rakannya di Azerbaijan, Iran tidak akan bertolak ansur dengan kehadiran atau aktiviti Israel “di sebelah sempadan kita” dan berjanji untuk ambil tindakan jika perlu.

Aliyev pada Selasa berkata Baku “tidak akan membiarkan tuduhan tidak berasas” Tehran mengenai kehadiran tentera Israel ditanahnya.

Juga pada Rabu, syarikat penerbangan AZAL milik kerajaan Azerbaijan berkata ia akan mula menggunakan ruang udara Armenia untuk penerbangan.

Langkah itu tanda pertama untuk meredakan ketegangan antara Baku dan Yerevan, beberapa hari selepas para pemimpin kedua negara itu menyatakan kesediaan untuk bertemu dan berunding. – AFP, 6 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen