Taiwan beri amaran China terlampau kerap ceroboh


Taiwan berada di bawah ancaman pencerobohan berterusan oleh negara komunis China, yang menganggap pulau demokratik yang diperintah sendiri itu sebagai wilayahnya yang akan dirampas suatu hari nanti, secara paksa jika perlu. – Gambar AFP, 6 Oktober, 2021.

KETEGANGAN ketenteraan antara China dan Taiwan berada pada tahap paling tinggi sejak empat dekad, menteri pertahanan pulau itu memberi amaran pada Rabu, berkata Beijing akan berada dalam keadaan bersedia untuk pencerobohan berskala besar pada 2025.

Taiwan berada di bawah ancaman pencerobohan berterusan oleh negara komunis China, yang menganggap pulau demokratik yang diperintah sendiri itu sebagai wilayahnya yang akan dirampas suatu hari nanti, secara paksa jika perlu.

Menteri Pertahanan Taiwan Chiu Kuo-cheng berkata demikian selepas kira-kira 150 pesawat perang China - jumlah rekod paling tinggi, termasuk pengebom berkemampuan nuklear - menceroboh zon pertahanan udara Taiwan sejak Jumaat.

“Bagi tentera, keadaan ini paling mengerikan sejak lebih 40 tahun sejak saya menyertai perkhidmatan ini,” kata Chiu kepada parlimen.

Beliau memperingatkan “sedikit kecerobohan” atau “salah perhitungan” dapat memicu krisis, dan China akan dapat menceroboh pulau itu dalam empat tahun.

“Sekarang ini pun ia mampu tetapi perlu mengira berapa harganya, dan apa hasil yang ingin dicapainya,” kata Chiu.

“Selepas 2025, kos dan kerugian akan diturunkan ke paling minimum,” tambahnya, tanpa memberikan perincian lebih lanjut.

Presiden China Xi Jinping, menyebut pencerobohan terhadap Taiwan “tidak dapat dielakkan”, selain menyifatkan hubungan dengan Taipei sebagai “suram” dalam surat kepada pemimpin pembangkang utama pulau itu.

Beijing telah meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Presiden Tsai Ing-wen sejak beliau berkuasa pada 2016, kerana beliau menolak pendirian yang Taiwan adalah sebahagian daripada “satu China”.

“Tindakan yang dibuat oleh…(China) telah merosakkan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” kata Tsai pada Rabu.

“Saya ingin beritahu pihak berkuasa di Beijing, pihaknya perlu menahan diri untuk elak kemungkinan konflik akibat salah perhitungan atau kemalangan.”

Tsai baru-baru ini berkata Taiwan akan “membuat apa-apa sahaja” untuk mempertahankan diri daripada ancaman, tetapi berusaha untuk hidup berdampingan dengan China. – AFP, 6 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen