Perdaya bakal bapa mentua, peniaga dipenjara 3 tahun, 6 sebatan


SEORANG peniaga dalam talian dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini, selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan memperdaya seorang imam masjid berhubung perniagaan emas.

Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dengan satu sebatan terhadap Shah Jahan Sazali, 36, dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Shah Jahan dituduh memperdaya Mad Rozali Botok, 65, yang juga bakal bapa mentuanya dengan mendakwa menjalankan perniagaan emas sehingga mangsa menyerahkan wang dalam enam transaksi berjumlah RM24,200.

Shah Jahan melakukan kesalahan itu di Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian, antara 9 Ogos dan 12 September lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yusnaliza Mohammad Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam Intan Nor Nadhirah Ismail daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sementara itu, di mahkamah berasingan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar tertuduh juga mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan memperdaya dua lelaki.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, Shah Jahan dituduh memperdaya Mad Rozali Botok dengan mendakwa menjalankan perniagaan emas sehingga mangsa menyerahkan wang berjumlah RM16,000 di Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian, antara 28 Jun dan 5 September lepas.

Shah Jahan juga mengaku bersalah memperdaya pesara guru, Husin Md Ali, 74, sehingga mangsa menyerahkan sebuah kereta untuk dibaiki kepadanya pada 22 Mac 2020.

Mahkamah menetapkan 28 Nov untuk menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan manakala tertuduh diwakili peguam Ariyani Mohd Amin daripada YBGK. – Bernama, 6 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen