Parlimen tidak akan bahas isu Pandora Papers, kata speaker


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata isu Pandora Papers tidak cukup mendesak untuk mengetepikan agenda sedia ada. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2021.

PARLIMEN tidak akan membahaskan pendedahan Pandora Papers kerana ia tidak mendesak untuk mengetepikan agenda sedia ada, kata Azhar Azizan Harun.

“Saya setuju Pandora Papers adalah kepentingan awam dan spesifik namun ia tidak cukup mendesak untuk mengetepikan perkara yang sudah tersenarai dalam Peraturan Mesyuarat,” kata Speaker di Dewan Rakyat hari ini.

Azhar berkata agenda Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan Covid-19 sama pentingnya untuk dibahaskan di Parlimen dan oleh itu beliau tidak akan menangguhkan perkara-perkara ini untuk membincangkan pendedahan media.

“Walaupun ia adalah isu penting, itu sesuatu yang dapat dibangkitkan dengan cara lain seperti semasa Sesi Pertanyaan Menteri (MQT) atau Sesi Soal Jawab.

“Adalah lebih baik untuk membincangkan siasatan oleh Suruhanjaya Diraja. Sebagai alternatif, Pandora Papers juga boleh disiasat oleh sembilan jawatankuasa pilihan Parlimen,” kata Azhar.

Azhar menjawab usul Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH) untuk membincangkan pendedahan Pandora Papers di Parlimen.

Pandora Papers adalah kebocoran data yang melibatkan 2.94 terabyte data yang diberikan tanpa nama kepada Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ).

Hampir 12 juta dokumen dan rekod lain dari 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan shell company dan dana percukaian di seluruh dunia terkandung dalam data berkenaan. Kebocoran itu, bagaimanapun, tidak menyatakan kesalahan pihak pendeposit.

Antara yang dinamakan dalam Pandora Papers kerana memiliki akaun luar pesisir termasuk Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz, bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk-BN), bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan Ahli Parlimen Selayang William Leong.

“Tambahan pula Pandora Papers masih belum disahkan dan Peraturan Mesyuarat 23 (1) (i) menyatakan Parlimen tidak boleh digunakan untuk mengesahkan laporan media,” kata Azhar.

Menjawab kenyataan Azhar, Anwar berkata tidak betul untuk Parlimen menolak usulnya berdasarkan teknikal.

“Pendedahan sebelum ini mengenai aliran wang haram dari negara ini pada tahun 2012 juga tidak disiasat.

“Walaupun jawatankuasa terpilih adalah saluran yang tepat untuk menyiasat Pandora Papers, rakyat juga berhak mengetahui tentang jutaan yang telah ‘dicuri’ dari negara ini,” kata ketua Pakatan Harapan.

Tambah Anwar kerajaan baru juga belum menyelesaikan komposisi jawatankuasa pemilihan.

“Saya akan kemukakan perkara ini kepada jawatankuasa Parlimen supaya usul dapat dibawa ke Parlimen pada hari Isnin,” kata Azhar.

Selepas itu, Anwar berkata beliau akan mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 43 agar Azhar mengkaji semula keputusannya. – 6 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen