Mengenang Kassim Ahmad


KASSIM Ahmad anak zamannya. Alur fikirnya hasil interaksinya dengan lingkungan eranya. Beliau turut terbentuk oleh persekitaran intelektual, politik dan sosial tahun-tahun 1950-an, 1960-an, dan awal 1970-an. Selanjutnya, Kassim berinteraksi pula dengan gelombang kebangkitan semula Islam sekitar 1980-an dan 1990-an. Period-period tersebut ditandai dengan beberapa peristiwa besar dunia dan di dalam negeri. 

Pada period pertama, Asia Tenggara menjadi panggung laga kuasa-kuasa sosial, politik dan diikuti perselisihan terbuka aliran ideologi. Perjuangan heroik Vietnam menundukkan adikuasa dunia. Terlancarnya, perekayasaan sosial raksasa di China dan Kemboja. Kebangkitan semula memori sosial Maphilindo. 

Sebaliknya pula, munculnya rejim autoritarian di Indonesia diikuti pemandian darah di situ. Konflik sekitar pembentukan Malaysia yang mengorbankan gerakan kiri Malaysia. Kehancuran total perjuangan kiri di Singapura. Revolusi China tergendala setelah kematian Mao Tze Dong. 

Semua peristiwa tersebut, meminjam metafora Charles Dickens, adalah satu masa terbaik, satu masa terburuk; satu kurun waktu harapan, satu kurun kekecewaan rakyat rantau ini. 

Era itu dipanggil Kassim ‘zaman pancaroba’, kiasan yang menggambarkan keadaan kacau dan tidak tentu arah. Waktu harapan tersebut adalah penjelmaan cita-cita mendirikan satu dunia alternatif – membentuk semula dunia tetapi dengan perspektif revolusioner. Upaya radikal pada zaman tersebut dianggap satu tuntutan agensi politik, malah menjadi desakan sejarah. 

Pada period kedua pula, Kassim berinteraksi dengan lingkungan keagamaan, iaitu ketika timbul upaya baru interpretasi semula al-Quran. Sebelum itu pula, pada 1979, Revolusi Iran tercetus dan 10 tahun kemudian runtuhnya Tembok Berlin dengan segala kesimpangsiuran arah golongan kiri. Pada kesempatan kekosongan tersebut, maka timbul politik Islam. 

Jadi, respons dan proaksi Kassim kepada dua lingkuangan diatas terpancar pada pemikirannya dalam bidang kesusasteraan, politik, dan keagamaan. 

Memperingati Kassim bererti merenungi upaya beliau membuka jalan-jalan kecil, lalu, dari situ dibinanya saranan radikal pada bidang-bidang kesusasteraan, politik, dan keagamaan sesuai dengan tuntutan roh zaman. 

Beliau adalah penerus cita-cita Asas 50 dengan menambah dimensi teori dan ciri klas yang lebih jelas pada karya kesusasteraan agar terpancar “benderang” semboyan “seni untuk masyarakat” dan agar menjadi lebih tertata karya tersebut mencapai perimbangan antara isi dengan bentuk, antara substansi dengan estetika. Ertinya, kesusasteraan tidak semata-mata ornamen maupun propaganda. 

Kassim juga penyusul ideologi perjuangan politik kiri dengan menganggap bahawa ideologi Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) itu sekadar satu pedoman dan bukan dogma. Hal tersebut harus dibezakan dengan falsafah atau metafisika kerana sesungguhnya, ideologi parti tidak memerlukan falsafah. Malah falsafah menjadi satu yang berlebihan, satu redundancy. Inti ideologi parti sudah merangkumi sejarah dan ekonomi. 

Kassim juga penyambung cita-cita umum Kaum Muda serta beberapa reformis agama dalam upaya historik masing-masing mengembalikan Islam menjadi ad-din, bukan sekadar agama ritual. Beliau telah memilih jalannya sendiri, lalu memecah monopoli kelompok ulamak ke atas Islam. 

Dalam inisiatifnya sebagai penerus, penyusul, dan penyambung cita-cita terdahulu, maka ternyata Kassim telah mencuba sedaya inteleknya agar cita-cita tersebut itu menjadi lebih utuh sementara isi dan bentuknya termantap sesuai dengan roh zamannya. 

Hal demikian, justeru kerana sesungguhnya Kassim berdiri di atas pundak mereka sebelumnya. Seperti jua mereka sebelumnya pula tegak diatas bahu angkatan terdahulu. 

Sememangnya manusia menciptakan sejarahnya sendiri, tetapi bukan secara sesuka hatinya. Tidak pula mereka menciptakan sejarah dalam keadaan yang dipilih-pilihnya melainkan dalam lingkungan yang tersedia dan dalam persekitaran yang diwarisi dari lampau. Demikianlah pendapat seorang ahli fikir Jerman abad ke-19. 

Dalam upaya memperingati Kassim, maka dicari-carikan apakah benang merah, benang jelujur yang melekatkan ketiga-tiga bidang kajian beliau yang kelihatannya terpisah-pisah itu. Hal ini penting agar diperoleh a conception of the whole tentang pemikiran beliau. 

Pada saat ini, benang jelujur itu menunjukkan kearah satu doktrin yang mengintegrasikan tiga kuasa sosial – nasionalisme, agama, dan sosialisme – iaitu satu kerangka fikir yang diwarnai kekhususan sejarah dan sosiologi rantau ini. 

Ketiga-tiga kuasa tersebut tercatat dalam sejarah sebagai pemersatu bangsa dan penopang kemerdekaan pada waktu-waktu melawan penjajah. Doktrin tersebut malah terungkap dalam pidato Burhanuddin Helmi pada 1955. Tentunya, perimbangan ketiga-tiga hal di atas tidak proporsional dalam bidang-bidang kajian Kassim, namun perimbangan dialektis umumnya ternyata hadir. 

Apakah terdapat tanda-tanda awal bahawa legasi pemikiran Kassim akan diamati generasi berikutnya? 

Kira-kira tujuh belas hari sebelum Kassim meninggal, satu forum dianjurkan di Kampung Atap, Kuala Lumpur oleh sekelompok generasi Y, tiga generasi setelah beliau. Para panelisnya dari generasi tersebut, melainkan seorang dari generasi X, dua generasi setelah Kassim. 

Acara itu rupanya satu upaya sekelompok generasi muda menyebut semula nama Kassim. Seorang panelis berusia tiga puluhan mengimbau agar Kassim mengembangkan prinsip interpretasi al-Quran kerana tarikan intelektual tekniknya. Beliau lulusan jurusan pengajian hadis di Universiti al-Azhar. 

Panelis lain yang berusia sama pula merumuskan agar pemikiran sosial seperti pemikiran Kassim bercambah, lalu diletaknya pemikiran sosial Kassim dalam rangka sejarah idea. Seorang pengarang muda dalam buku luncuran malam itu pula menaruh harapan kepada karya sastera Kassim dalam upaya menghidupkan kembali tradisi literary criticism di Malaysia. Seorang panelis lain pula menyarankan supaya pemikiran politik Kassim diterbitkan dan dikaji. 

Pengamatan saya tentang alur fikir para pemuda pada malam itu sekadar sampel kecil dalam suasana perang dingin yang tiada lagi dan dalam keadaan tanpa purbasangka ideologi. Ia sekadar satu petanda, satu alamat, satu gelagat tentang sikap generasi baru terhadap karya Kassim. 

Kali terakhir saya bertemu Kassim di Mahkamah Syariah, Putrajaya pada 2014. Dengan keyakinan tinggi dan keberanian luar biasa yang menjadi antidotnya, beliau menghirup hidangan hemlok yang dikenakan oleh aparat negara. 

Saya bertemu Kassim pada 1966 dalam rangka tugas politik Parti Rakyat Malaya (PRM) yang dipimpin Ahmad Boestamam. Setelah tamat tempoh percubaan anggota calon dan diterima menjadi anggota penuh parti, saya ditugaskan membantu Kassim menyambung penerbitan Banteng, lidah rasmi PRM. Pada kesempatan itu dan pada waktu-waktu selanjutnya, khususnya apabila beliau terpilih menjadi pengerusi parti pada 1986, beberapa masalah saya menanggapi inti ideologi parti, marhaenisme, mulai terhurai. 

Pemantapan ideologi parti amat diperlukan pada ketika itu kerana pengembangan konsep marhaenisme tergendala setelah gerakan kiri hampir tersirna, sementara pucuk kepimpinan PRM pula dalam tahanan. Kassim muncul menyambung perjuangan para patriot terdahulu pada waktu-waktu terdesak itu. 

Demikian memori saya tentang seorang sahabat yang sangat terpanggil seruan “dare to know” dan “I think, therefore I am” – “sapere aude” dan “cogito ergo sum”. 

Hendaknya Kassim dalam hidupnya telah dianugerahkan al-hikmah oleh Sang Pencipta kerana “...Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran.” (Q,2:269) – 26 Januari, 2018.

* Abdul Halim Ali adalah ahli sosiologi, bekas Setiausaha Agong Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen