Ramai tidak tahu kewujudan aplikasi pengesah sijil vaksin


Elill Easwaran

Kebanyakan pusat beli-belah hanya periksa aplikasi MySejahtera sebelum membenarkan pengunjung masuk ke premis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2021.

SELEPAS dilancarkan awal tahun ini, masih ramai tidak menggunakan aplikasi pengesahan sijil vaksin Covid-19 kerajaan walaupun ketika semakin banyak sektor ekonomi dibuka semula, dengan pusat beli-belah memilih penggunaan aplikasi MySejahta.

Individu yang memuat turun aplikasi itu di telefon pintarnya boleh mengesahkan ketulenan sijil vaksin dengan mengimbas kod QR, yang akan mendedahkan nama dan butiran lain pemegang sijil berkenaan.

Tetapi Presiden Persatuan Pusat Beli-belah Teo Chiang Kok memberitahu The Malaysian Insight kebanyakan pusat beli-belah tidak menggunakan aplikasi pengesahan itu.

“Pengawal keselamatan pusat beli-belah membenarkan orang ramai masuk berdasarkan kepada status kesihatan di MySejahtera seperti arahan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Beliau berkata sesetengah pusat beli-belah hanya membenarkan pengunjung yang sudah divaksin sepenuhnya masuk, dan perlu menunjukkan sijil digital di MySejahtera.

Teo berkata kebanyakan individu tidak tahu tentang kewujudan aplikasi itu.

Jurucakap pusat beli-belah Sunway Malls, Darren Chear berkata ramai yang tidak sedar tentang aplikasi khusus itu.

Dan memandangkan MySejahtera kini diyakini dengan meluas, peniaga tidak rasa ada keperluan untuk aplikasi lain.

Beliau berkata kerajaan juga tidak mempromosikan aplikasi pengesahan itu untuk ia digunakan secara meluas.

Aplikasi itu boleh didapati di Apple App Store, Google Play dan the Huawei App Gallery.

Ia dikatakan turut menyokong sijil vaksin dikeluarkan Singapura dan Kesatuan Eropah.

Pihak berkuasa Malaysia menegaskan individu yang masuk ke negara ini dan divaksin di luar negara, perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan memohon sijil vaksin digital.

Tinjauan The Malaysian Insight di pusat beli-belah sekitar Lembah Klang mendapati pengawal keselamatan hanya melihat sijil vaksin pengunjung di MySejahtera.

Seorang pengawal keselamatan dikenali dengan nama Murugan, berkata beliau diarahkan untuk memeriksa aplikasi MySejahtera pelanggan.

“Setiap pelanggan yang masuk perlu buka MySejahtera sebagai bukti sudah divaksin sepenuhnya,” katanya.

Beliau hanya melihat tanda “fully vaccinated” sebelum membenarkan mereka masuk ke pusat beli-belah.

Sama juga, peniaga outlet di pusat beli-belah hanya melihat aplikasi MySejahtera sebelum membenarkan pelanggan masuk ke premis mereka.

Seorang lagi pengawal keselamatan dikenali sebagai Ras di Jaya Grocer berkata mereka juga memerika aplikasi MySejahtera untuk mengesahkan status vaksinasi pelanggan.

Ras tidak tahu tentang kewujudan aplikasi pengesahan sijil vaksin itu.

Kementerian Kesihatan baru-baru ini berkata ia mengesan aktiviti jualan sijil vaksinasi, dalam bentuk kad fizikal di platform atas talian.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata jabatan undang-undang kementerian akan mengambil tindakan terhadap pihak terbabit, menambah laporan polis sudah dibuat. – 7 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen