2 paus kelasa terkandas diselamatkan di Argentina 


Ikan paus kelasa merupakan antara spesies paus yang kini diancam kepupusan.– Gambar EPA, 6 Oktober, 2021.

PASUKAN penyelamat berjaya menyelamatkan dua ekor paus kelasa yang terkandas di perairan Argentina pada Selasa, kata World Marine Foundation.

Haiwan berkenaan terkandas di pantai berhampiran pekan peranginan La Lucila del Mar, 220 kilometer ke selatan Buenos Aires.

“Paus pertama yang terkandas adalah paus kelasa betina berukuran 32 kaki dan beratnya dianggarkan lapan tan,” kata kumpulan konservasi itu dalam satu kenyataan.

Yang kedua adalah dari spesis yang sama iaitu paus jantan berukuran 28 kaki dan dianggarkan seberat tujuh tan.

Kira-kira 30 orang terlibat dalam operasi menyelamat itu, termasuk penduduk tempatan, ahli konservasi marin, ahli Jabatan Pertahanan Awam, pegawai pengawal pantai, anggota bomba, sukarelawan dan pengawal pantai.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila kedua-dua haiwan terancam itu berjaya dikembalikan ke laut, menurut kenyataan itu.

“Ketika tiba di lokasi, pasukan penyelamat segera memberikan bantuan kecemasan utama termasuk memastikan posisi haiwan berkenaan untuk membolehkan ia bernafas, memastikan sebahagian badannya berada dalam air untuk menstabilkan suhu sebanyak yang mungkin,” kata organisasi berkenaan.

Menurut kumpulan itu, prosedur berkenaan agak sukar dilakukan. Pada satu masa, gelombang ombak menyebabkan badan haiwan itu terbalik hingga menutup saluran pernafasannya menyebabkan ia tidak dapat bernafas.

“Namun tindakan segera pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan haiwan berkenaan,” kata pakar biologi dari World Marine Foundation Sergio Rodriguez Heredia. – AFP, 6 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen