Kerajaan akan kaji halalkan ganja perubatan, kata Hamzah


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata kerajaan sedang mengkaji cara untuk menghalalkan penggunaan ganja perubatan. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2021.

KERAJAAN sedang mengkaji bagaimana untuk menghalalkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin di Dewan Rakyat hari ini.

“Jawatankuasa Kabinet Membanteras Dadah (JKMB) dan beberapa kementerian sedang meneliti cara untuk membenarkan penggunaan ganja perubatan dan undang-undang berkaitan bagi menghalalkannya,” katanya menjawab perkara dibangkitkan ahli Parlimen semasa penggulungan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika membahaskan rancangan tersebut meminta kerajaan bincang kebaikan dan keburukan menghalalkan penggunaan hemp dan ganja perubatan di Malaysia.

Ketua Muda itu berkata langkah proaktif perlu diambil agar Malaysia tidak ketinggalan dalam industri ini, yang menurutnya bernilai lebih RM400 bilion dalam empat tahun akan datang.

“Saya katakan ini sebab terdapat lebih 40 negara hari ini yang menghalalkan penggunaan hemp dan ganja perubatan. Pasaran semasa bernilai sekitar RM60 bilion dan dijangka, dalam jangka masa empat tahun, akan mencapai RM400 bilion.”

Antara negara yang telah menghalalkan penggunaan ganja perubatan termasuk Thailand, Amerika Syarikat, Australia, Argentina, Kanada dan Denmark.

Malaysia mengharamkan penggunaan ganja dan ia dikawal mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. – 5 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen