SAINTIS Amerika Syarikat-Jepun Syukuro Manabe, Klaus Hasselmann dari Jerman dan Giorgio Parisi dari Itali pada Selasa memenangi Hadiah Nobel Fizik untuk model iklim dan pemahaman mengenai sistem fizikal, kata juri.
Pengumuman itu dibuat sebulan menjelang sidang kemuncak iklim COP26 di Glasgow, di mana isu pemanasan global akan menjadi agenda utama dunia.
Manabe, 90, dan Hasselmann, 89, berkongsi separuh daripada hadiah 10 juta-kronor (AS$1.1 juta) atas penyelidikan mereka mengenai model iklim, sementara Parisi, 73, memenangi separuh lagi atas kerjanya mengenai interaksi gangguan dan turun naik dalam sistem fizikal.
“Syukuro Manabe dan Klaus Hasselmann meletakkan asas pengetahuan kita tentang iklim Bumi dan bagaimana manusia mempengaruhinya,” kata Jawatankuasa Nobel dalam satu kenyataan.
“Giorgio Parisi dihargai atas sumbangan revolusinya terhadap teori bahan yang tidak teratur dan proses rawak,” tambahnya.
“Penemuan yang diiktiraf tahun ini menunjukkan pengetahuan kita tentang iklim bertumpu pada landasan ilmiah yang kukuh, berdasarkan analisis pemerhatian yang ketat,” kata Thors Hans Hansson, pengerusi Jawatankuasa Nobel Fizik, dalam satu kenyataan.
Manabe anggota gabungan dengan Princeton University di AS, sementara Hasselmann merupakan profesor di Institut Meteorologi Max Planck di Hamburg.
Parisi seorang profesor di Sapienza University of Rome. – AFP, 5 Oktober, 2021.
Komen