Temasya Olimpik Beijing 2022 kini di fasa ujian


Fasa ujian penting untuk memastikan temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 dapat diadakan mengikut jadual, selamat dan lancar, kata jawatankuasa penganjur.– Gambar AFP, 5 Oktober, 2021.

PERSIAPAN temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 kini memasuki fasa ujian, menyaksikan beberapa acara antarabangsa bakal dianjurkan sehingga Disember depan.

Fasa itu penting untuk memastikan temasya berkenaan dapat diadakan mengikut jadual, selamat dan lancar, menurut jawatankuasa penganjur dalam satu sidang media di Beijing, pada Isnin.

Sementara itu Ketua Jabatan Pentadbiran Stadium Yao Hui berkata usaha pencegahan dan kawalan wabak Covid-19 kekal menjadi tumpuan dan faktor utama pada fasa berkenaan.

“Pihak penganjur pelbagai zon pertandingan dan pasukan pengawal stadium akan terus meningkatkan pengawalan dengan lebih teliti,” katanya.

Fasa ujian itu membabitkan 10 pertandingan acara antarabangsa, tiga minggu latihan dan dua ujian domestik di kesemua venue pertandingan yang terletak di Beijing, Yanqing dan Zhangjiakou.

Antara acara yang akan diadakan, perlumbaan terbuka China luncur ais, kurling, kurling berkerusi roda, hoki ais dan ski bebas.

Mulai 3 November, pertandingan piala dunia dan minggu latihan antarabangsa skeleton akan diadakan di Pusat Skeleton Negara, manakala Pusat Sukan Wukesong dan Gimnasium Negara pula akan menyaksikan berlangsungnya aktiviti ujian domestik hoki ais.

Pertandingan ski bebas dan papan luncur oleh Persatuan Ski Antarabangsa (FIS) akan diadakan di Taman Ski Genting Chongli, di Zhangjiakou .

Ia disusuli Piala Dunia acara lompatan ski FIS dan Piala Antara Benua Biathlon Nordik serta minggu latihan antarabangsa dua acara musim sejuk. – Bernama, 5 Oktober, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen