Pemimpin EU bincang bagaimana hadapi China dan AS


Para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) akan bertemu pada Selasa bagi membincangkan duduk letak kesatuan itu di persada dunia, selain menentukan titik temu mengenai bagaimana berhadapan China dan Amerika Syarikat. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2021.

PARA pemimpin Kesatuan Eropah (EU) akan mengadakan perbincangan mengenai duduk letak Eropah pada sidang kemuncak Selasa ini, ketika mereka mencari titik temu mengenai bagaimana menangani kuasa besar China dan Amerika Syarikat (AS).

27 ketua negara dan kerajaan akan bertemu di Istana Brdo di Slovenia, negara yang kini memegang jawatan presiden bergilir EU.

Walaupun tidak ada hasil konkrit diharapkan, ini adalah pertemuan pertama sejak Jun, dengan seorang diplomat kanan EU berkata “semua yang telah terjadi, seperti sudah berabad-abad lamanya”.

Makan malam diadakan pada malam sidang kemuncak EU-Balkan Barat di mana negara-negara di sebelah timur blok akan mencari jaminan suatu hari nanti mereka akan diterima masuk Kesatuan Eropah.

Para pemimpin akan mengadakan “perbincangan strategik mengenai peranan EU di pentas antarabangsa”, menurut surat jemputan yang dihantar oleh ketua Majlis EU Charles Michel.

Perancis masih memikirkan keputusan bulan lalu oleh Australia untuk membatalkan perjanjian kapal selam Perancis bernilai puluhan bilion dolar yang menyokong tawaran AS.

Dengan kemarahan masih membara, Presiden Perancis Emmanuel Macron diharap akan memperingatkan lagi pada sidang yang kesetiaan Washington terhadap Eropah tidak akan diberikan lagi.

“Adalah menjadi kesalahan untuk berpura-pura tidak ada yang terjadi,” kata sumber presiden Perancis.

Walaupun beberapa negara EU menyokong Perancis, negara lain seperti negara-negara Baltik dan Nordik enggan mengkritik AS, yang mereka anggap sebagai pelindung utama mereka terhadap Rusia.

Presiden AS Joe Biden menekankan blok itu adalah “rakan asas” bagi Washington dalam satu panggilan pada Isnin dengan ketua EU, Ursula von der Leyen, kata Rumah Putih.

Seorang pegawai EU berkata panggilan itu - yang merangkumi China, usaha pertahanan EU, dan perdagangan - menunjukkan Biden ingin “memperkuat dialog” dengan Eropah.

Minggu depan, ketua dasar luar blok itu Josep Borrell akan ke Washington untuk berbicang dengan Setiausaha Negara Antony Blinken. – AFP, 5 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen