Hampir 1,000 bangunan musnah gunung berapi meletus Kepulauan Canary


Gunung berapi Cumbre Vieja di pulau La Palma di Kepulauan Canary yang meletus menyebabkan hampir 1,000 bangunan musnah. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2021.

LAVA dari gunung berapi Cumbre Vieja di pulau La Palma di Kepulauan Canary melitupi sekitar 400 hektar tanah dan memusnahkan hampir 1,000 bangunan, menurut Jabatan Keselamatan Negara Sepanyol dan sistem Copernicus Kesatuan Eropah (EU).

Menurut Copernicus itu adalah maklumat terkini setakat Isnin sementara menunggu penilaian baharu melalui gambar satelit dilakukan, lapor Agensi Berita Itali (ANSA).

Hampir 30 hektar laut dipenuhi dengan lava.

Pada petang Ahad, sebahagian puncak utama gunung berapi itu runtuh (dianggap normal oleh pakar)  menyebabkan peningkatan aliran lava, kata pakar gunung berapi kepada media Sepanyol.

Pemantauan awal menunjukkan lava dan batuan yang melebur mengalir ke arah lokasi yang sama seperti sebelum ini, dan belum ada laporan mengenai kawasan baharu.

Pada Ahad, Perdana Menteri Pedro Sánchez mengumumkan kira-kira 200 juta euro diperuntukkan untuk membantu “pembinaan semula” La Palma. – Bernama, 5 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen