Komen berbaur perkauman tiada tempat dalam budaya Malaysia, kata menteri


Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong

Menteri Perpaduan Negara Halimah Sadique menasihatkan pengguna media sosial agar tidak menimbulkan kemarahan masyarakat dengan memainkan sentimen perkauman untuk menyinggung perasaan orang lain. – Gambar Facebook, 5 Oktober, 2021.

KOMEN berbaur perkauman yang dilemparkan terhadap pemain badminton negara S Kisona tiada tempat dalam budaya Malaysia, kata Menteri Perpaduan Nasional Halimah Sadique kepada Parlimen.

“Bagi saya komen berbaur perkauman mengenai pemain badminton negara, Kisona Selvaduray tidak boleh diterima dalam budaya Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga menasihatkan pengguna media sosial agar tidak menimbulkan kemarahan masyarakat dengan memainkan sentimen perkauman untuk menyinggung perasaan orang lain.

Halimah berkata ini penting untuk mengekalkan perpaduan dalam “Keluarga Malaysia”.

Beliau berkata sukan sekian lama menjadi titik penyatuan bagi rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kepercayaan.

Halimah diminta mengulas mengenai isu tersebut oleh Cha Kee Chin (Rasah-PH) kerana Kisona berasal dari kawasannya.

Bekas naib ketua Bahagian Bersatu Pasir Putih, Borhanuddin Che Rahim membuat kenyataan berbaur perkauman di media sosial selepas Kisona, 23, tewas dalam separuh akhir acara perseorangan Piala Sudirman 2021, yang berlangsung di Vantaa, Finland hujung minggu lalu.

Beliau juga mengundurkan diri sebagai naib ketua Bahagian Bersatu Pasir Putih selepas dikritik susulan kenyataannya terhadap Kisona.

Ulasan perkauman Borhanuddin menggunakan kata yang menyinggung perasaan masyarakat India, ditangkap layar dan ditularkan secara meluas.

Beliau juga dikritik oleh Timbalan Presiden Bersatu dan Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Lazim berkaya polis akan menyiasat kenyataan Borhanuddin mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – 5 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen