Vaksin Pfizer mampu cegah jangkitan Covid-19 bagi tempoh 6 bulan, kata kajian


Vaksin Pfizer didapati sangat berkesan dalam mengekang jangkitan Covid-19 termasuk varian Delta bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2021.

VAKSIN Pfizer didapati sangat berkesan dalam mengekang jangkitan Covid-19 yang teruk, termasuk varian Delta bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

Dapatan itu hasil kajian penyedia perkhidmatan kesihatan dan Pfizer, Kaiser Permanente apabila menyelidik rekod 3.4 juta penduduk di selatan California dengan satu pertiga daripadanya ada sejarah imunisasi lengkap antara Disember 2020 hingga Ogos lalu.

Selepas purata tempoh antara tiga hingga empat bulan, individu yang lengkap vaksinasi didapati masih ada perlindungan 73% bagi mengekang jangkitan dan 90% untuk terhindar daripada dimasukkan ke hospital.

Walaupun perlindungan terhadap jangkitan varian Delta menyusut 40% dalam tempoh lima bulan, kadar menangani kemasukan ke hospital membabitkan kes semua varian kekal tinggi sepanjang tempoh kajian.

Mengikut kajian itu, dapatan terbabit selari data awal dikemukakan pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Penulis kajian berkata pengurangan kadar perlindungan daripada mendapat jangkitan berkemungkinan berpunca daripada penyusutan keberkesanan vaksin, berbanding kes varian yang dikatakan kalis vaksin.

“Dapatan kajian ini mengetengahkan kepentingan memantau keberkesanan vaksin dalam tempoh tertentu dan mengesyorkan keperluan pemberian dos penggalak bagi meningkatkan kadar perlindungan asas seperti yang terbentuk pada awal program imunisasi,” katanya.

Pada Ogos lalu, AS meluluskan pemberian dos penggalak kepada individu yang ada masalah sistem pertahanan badan, manakala Perancis mengambil keputusan memberikan suntikan dos ketiga kepada semua warga emas.

Israel pula mengambil langkah lebih drastik dengan menawarkan suntikan dos penggalak dalam tempoh lima bulan selepas dos kedua kepada kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bulan lalu bagaimanapun, mendapati perlindungan semasa daripada vaksin adalah mencukupi bagi mengekang jangkitan Covid-19.

Oleh itu, pemberian dos penggalak untuk semua penduduk tidak perlu. – AFP, 5 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen