4 militan ditemui maut selepas 6 hari dikepung di Narathiwat


Mayat keempat-empat anggota militan itu dituntut ahli keluarga selepas proses bedah siasat dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kg Duku Surau Bacho di Narathiwat. – Gambar AFP, 4 Oktober, 2021.

EMPAT anggota militan yang dikehendaki pihak berkuasa ditemui maut  di sebuah hutan paya di Bacho, Narathiwat selepas enam hari dikepung.

Jurucakap Pusat Arahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Bahagian Ke-4 Kol Kiattisak Neewong berkata pasukan keselamatan telah mengepung hutan paya itu selama enam hari.

Insiden berbalas tembakan turut dilaporkan berlaku semasa mereka dikepung dengan seorang anggota keselamatan maut dalam kejadian tembakan pada Sabtu lepas.

“Pada awal pagi Ahad, insiden berbalas tembakan lagi berlaku dan berlanjutan sehingga lewat petang. Apabila keadaan reda, pasukan keselamatan menemui empat mayat di hutan paya.

“Tiga laras senjata api jenis Rifle dan sepucuk pistol serta dua butir bom tangan ditemui berdekatan dengan mayat,” katanya pada satu sidang media di Narathiwat hari ini.

Beliau menambah bahawa kesemua anggota militan itu mempunyai rekod jenayah dan beberapa waran tangkap tertunggak.

Mayat keempat-empat anggota militan itu dituntut ahli keluarga selepas proses bedah siasat dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kg Duku Surau Bacho. – Bernama, 4 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen