TAIWAN berkata 52 pesawat perang China telah menceroboh zon pertahanan udaranya lagi pada Isnin, walaupun ada Washington menyuarakan kebimbangan mengenai aktiviti ketenteraan Beijing yang provokatif.
Kementerian pertahanan berkata ia telah menyiarkan amaran selepas 36 jet pejuang, 12 pengebom H-6 berkeupayaan nuklear dan pesawat lain memasuki zon pertahanan udara barat daya (ADIZ).
ADIZ tidak sama dengan ruang udara wilayah Taiwan namun ia merangkumi wilayah yang jauh lebih besar, yang bertindih dengan sebahagian zon pertahanan udara China sendiri malah merangkumi sebahagian daratan China.
Taiwan yang memerintah secara demokratik sentiasa diancam China, yang mendakwa pulau itu sebagai wilayahnya dan telah berjanji untuk merampasnya suatu hari nanti, secara paksa jika perlu.
Dalam dua tahun kebelakangan ini Beijing kerap kali mengirim pasukan besar ke zon pertahanan Taiwan untuk memberi isyarat ketidakpuasan dan bagi memberi tekanan kepada armada tempur Taipei.
Pada Jumaat, negara komunis China menyambut Hari Kebangsaannya dengan pertunjukan kekuatan udara terbesarnya, yang menggegarkan pulau itu dengan 38 pesawat perang.
Itu diikuti oleh pencerobohan lain oleh 39 pesawat pada Sabtu, mencetuskan kritikan Washington.
“Amerika Syarikat (AS) sangat prihatin dengan kegiatan ketenteraan provokatif Republik Rakyat China berhampiran Taiwan, yang tidak stabil, berisiko, dan merosakkan keamanan dan kestabilan wilayah,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price dalam satu kenyataan pada Ahad.
“Kami desak Beijing berhenti beri tekanan ekonomi, ketenteraan dan diplomatik terhadap Taiwan.”
Beijing telah meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Presiden Tsai Ing-wen sejak beliau berkuasa pada 2016, kerana beliau menolak pendirian yang Taiwan adalah sebahagian daripada “satu China”.
Tahun lalu sebanyak 380 jet tentera China membuat pencerobohan ke zon pertahanan Taiwan, dan tahun ini sahaja setakat Oktober, sebanyak 600 pencerobohan telah dibuat republik komunis itu. – AFP, 4 Oktober, 2021.
Komen