Rusia uji peluru berpandu hipersonik dari kapal selam


Gambar dari rakaman video oleh Kementerian Pertahanan Rusia menunjukkan pelancaran peluru berpandu hipersonik Zirkon ditembak dari kapal selam nuklear Severodvinsk di laut Barents. – Gambar AFP, 4 Oktober, 2021.

RUSIA pada Isnin berkata ia telah melancarkan peluru berpandu hipersonik dari kapal selam, ujian terbaru kebangkitan senjata baharu yang digelar Presiden Vladimir Putin sebagai “tidak terkalahkan”.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Moscow menyebut pembangunan senjata yang diharapkan dapat memberikannya kelebihan dalam perlumbaan senjata dengan Amerika Syarikat ketika timbulnya ketegangan dengan Barat.

Peluru berpandu hipersonik Zircon lima kali ganda lebih laju daripada kelajuan bunyi malah boleh dikawal sejurus ditembak, menjadikannya jauh lebih sukar untuk dipintas berbanding projektil tradisional.

Tentera berkata pada Isnin mereka telah menembak peluru berpandu Zircon dari kapal selam nuklear Severodvinsk dan mencapai sasaran ujian di Laut Barents di Artik Rusia.

“Uji pelancaran peluru berpandu Zircon dari kapal selam nuklear dianggap berjaya,” kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan.

Kementerian mengeluarkan rakaman video menunjukkan peluru berpandu yang menerangi langit malam.

Zircon telah menjalani beberapa ujian dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pelancaran dari kapal Gorshkov.

Putin menggunakan ucapan pada 2018 mengungkapkan senjata hipersonik baharu, termasuk Zircon, dengan berkata ia dapat menyerang sasaran di laut dan di darat dengan jarak 1,000 kilometer.

Zircon dijangka digabungkan dengan kenderaan peluncur hipersonik Avangard yang mula digunakan pada 2019 dan peluru berpandu Kinzhal (Dagger).

Pelancaran itu dilakukan seminggu selepas Korea Utara berkata ia telah menguji senjata hipersonik baharu, menjadi negara terbaharu yang menyertai perlumbaan senjata hipersonik.

Pakar bersetuju sekurang-kurangnya buat masa ini, Rusia ada kelebihan. – AFP, 4 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen