PERKHIDMATAN ambulans di Tokyo menerima panggilan tertinggi sejak lebih 80 tahun lalu, menurut pegawai pada Khamis, berikutan penurunan salji yang paling tinggi di ibu negara Jepun itu sejak berdekad lalu.
Jabatan bomba Tokyo yang mengendalikan perkhidmatan ambulans berkata, ia menerima 2,826 panggilan pada Rabu berikutan penurunan salji yang mencetuskan kekecohan di salah satu bandaraya berpopulasi tertinggi di dunia.
“Kebiasaannya, kami menerima banyak panggilan pada musim sejuk. Namun kami rasa ia disebabkan gabungan wabak influenza, salji tebal dan cuaca sejuk menyumbang kepada rekod tertinggi itu,” kata jurucakap jabatan bomba kepada AFP.
Jumlah panggilan kecemasan itu merupakan yang tertinggi sejak ia memulakan perkhidmatannya pada 1963 dan melebihi purata sekitar 2,000.
Jumlah panggilan kecemasan tahunan di Tokyo meningkat sejak lapan tahun lalu, tambah jurucakap itu.
Cuaaca sejuk di Jepun itu mencecah hingga - 4 darjah selsius, yang paling sejuk dalam tempoh 48 tahun, menurut Agensi Meteorologi Jepun.
Kerajaan turut mengeluarkan amaran keadaan sejuk di Tokyo itu dijangka akan berlarutan.
“Agensi kaji cuaca sudah mengeluarkan amaran suhu rendah kepada Tokyo buat pertama kalinya sejak 33 tahun..Cuaca sejuk itu dijangka berlarutan sehingga Sabtu,” kata timbalan jurucakap kerajaan Jepun Kotari Nogami kepada pemberita.
Salji tebal menyelubungi Tokyo pada Selasa menyebabkan ribuan pengembara terkandas dan banyak kecederaan dilaporkan. – AFP, 25 Januari, 2018.
Komen