PETUGAS Dewan Bandaraya Bangkok bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja pembersihan di sepanjang Sungai Chao Phraya pada Ahad pagi, tidak seperti rutin biasa yang dibuat selama ini.
Selain itu guni-guni berisi pasir turut disusun di pintu masuk kedai dan bank. Bangkok sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir berikutan empangan di hulu dijangka akan melepaskan air berlebihan.
Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang turut turun padang memeriksa sendiri stesen pam dan tebing sungai di sepanjang Sungai Chao Phraya dalam usaha pihak berkuasa untuk memastikan banjir seperti 2011 tidak berulang.
Beliau turut mengarahkan benteng penahan banjir diperkukuh, di sepanjang 79 kilometer di sembilan daerah yang terletak di kawasan rendah di sepanjang Sungai Chao Phraya iaitu Dusit, Phra Nakhon, Yannawa, Bang Kholaem, Sathon, Bang Phlat, Thon Buri, Klong San dan Rat Burana.
Aswin berkata Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) memantau rapat keadaan dan semua langkah pencegahan banjir yang telah dilaksanakan di bandar raya itu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi meramalkan hujan petir melanda seluruh negara dalam beberapa hari lagi.
Paras air di Sungai Chao Phraya terus meningkat berikutan pihak berkuasa melepaskan air dari empangan di hulu.
Menurut BMA purata 3.091 meter padu per saat air mengalir melalui Sungai Chao Phraya hari ini, namun, masih di bawah paras tebing sungai.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM) melaporkan ribut tropika Dianmu telah menyebabkan hujan lebat dan banjir di 32 wilayah sejak akhir September selain menjejaskan 271,092 keluarga.
Jabatan itu memaklumkan setakat ini sekurang-kurangnya lapan terkorban dan seorang dilaporkan hilang.
“Terdapat 18 wilayah masih mengalami banjir. Secara keseluruhan, situasi banjir dalam negara semakin pulih dengan banjir masih dilaporkan di daerah dataran rendah,” menurut DDPM dalam satu kenyataan.
Sementara itu, BMA turut mengeluarkan amaran hujan lebat dari 5 hingga 9 Okt dan kemungkinan berlakunya banjir kilat serta arus deras apabila pihak berkuasa melepaskan air dari empangan di hulu.
BMA telah mengenal pasti 11 komuniti di tujuh daerah rendah di sepanjang Sungai Chao Phraya yang berisiko dilanda banjir.
Penduduk Bangkok, Tawatchai Lalitertwang berharap Thailand tidak akan menghadapi banjir seperti 2011 yang mengorbankan lebih 800 orang dan nilai kerosakan melebihi 1.5 trilion baht.
“Saya telah meletakkan beberapa guni pasir di rumah saya untuk mengurangkan kesan buruk jika terjadi banjir,” katanya kepada Bernama. – Bernama, 4 Oktober, 2021.
Komen