8,075 kes baharu Covid-19 hari ini, lapor KKM


Noel Achariam

Jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 dalam negara kini 2,285,640, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2021.

ANGKA harian jangkitan Covid-19 dalam negara terus turun bawah 10,000 dua hari berturut-turut dengan 8,075 direkodkan setakat 12 tengah hari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kementerian Kesihatan semalam melaporkan 9,066 kes.

Pertambahan kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kini 2,285,640, menurut Dr Noor Hisham menerusi makluman di Twitter.

Hanya dua negeri melaporkan lebih 1,000 kes baharu hari ini, iaitu Sarawak dengan 1,189 kes manakala 1,020 kes di Kelantan.

Pulau Pinang negeri ketiga tertinggi angka harian Covid-19 dengan 853 kes. 

Awal hari ini, KKM menerusi laman web CovidNow memaklumkan 87.6% populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam.

Sebanyak 206,574 dos vaksin diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) semalam, dengan 96,024 merupakan dos pertama dan manakala 110,550 lagi dos kedua.

Setakat semalam juga sebanyak 44,352,079 dos telah diberi di bawah PICK sejak ia dilancarkan pada 24 Februari.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata perjalanan rentas negeri akan dibenarkan apabila 90% populasi dewasa sudah lengkap divaksinasi. – 4 Oktober, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen