Individu tak divaksin atas faktor kesihatan boleh mohon sijil pengecualian, kata Khairy


Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata individu yang tidak menerima vaksin atas faktor kesihatan boleh memohon sijil digital khas untuk pengecualian vaksinasi melalui MySejahtera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2021.

INDIVIDU yang tidak dapat menerima suntikan Covid-19 atas masalah kesihatan boleh memohon sijil digital khas untuk pengecualian vaksinasi melalui MySejahtera, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Beliau berkata mereka perlu menyerahkan slip penilaian yang diberi oleh doktor masing-masing ke pejabat kesihatan daerah terdekat.

“Sekiranya permohonan itu lengkap dan memenuhi semua syarat, sijil digital akan dikeluarkan melalui MySejahtera dalam tempoh seminggu,” kata ahli Parlimen Rembau itu pada Waktu Pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memberitahu doktor boleh mencadangkan jenis vaksin yang berlainan untuk individu yang mempunyai alahan pada produk tertentu. 

Bagaimanapun bagi mereka yang tidak dapat menerima vaksin, mereka disarankan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat.

Khairy memberi maklum balas terhadap Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud-Warisan) mengenai alternatif yang ada bagi individu yang tidak dapat divaksinasi kerana faktor yang berkaitan dengan kesihatan dan penerbitan dokumentasi yang relevan.

Khairy juga berkata mereka yang tidak memiliki telefon pintar juga boleh menggunakan kad fizikal yang dikeluarkan sebagai bukti vaksinasi.

“Individu tersebut boleh memohon sijil digital khas atau sijil pengecualian vaksinasi di MySejahtera melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan dengan mengemukakan borang khas “Slip Penilaian Kesesuaian Menerima Vaksin Covid-19 Bagi Pesakit Dengan Masalah Kesihatan Tertentu” yang telah
disahkan oleh pakar perubatan,” katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba baru-baru ini berkata bahawa hanya sijil digital vaksinasi yang dikeluarkan melalui MySejahtera akan diterima sebagai bukti vaksinasi.

Khairy menambah kementerian juga akan memuat naik data mengenai kesan buruk selepas vaksinasi di laman webnya. 

Dia menambah tidak ada kematian yang berkaitan suntikan vaksin Covid-19 setakat ini. – 4 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen