Masukkan PKS dalam pengecualian faedah 3 bulan, kata Guan Eng 


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata sangat penting untuk memasukkan PKS yang berdepan masalah kewangan akibat Covid-19 dan kemelesetan ekonomi yang berlaku dalam pengecualian faedah tiga bulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2021.

PUTRAJAYA mesti memasukkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam pengecualian faedah tiga bulan dan memberikan pengurangan kadar faedah dua peratus untuk sektor pelancongan, kata Lim Guan Eng.
 
Setiausaha Agung DAP berkata sangat penting untuk memasukkan PKS yang berdepan masalah kewangan berikutan kegagalan pengurusan wabak Covid-19 dan kemelesetan ekonomi yang berlaku.

Katanya pada Julai, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan PKS mengalami kerugian RM40.7 bilion pada 2020.

“Sekitar 580,000 perniagaan, yang mewakili 49% sektor PKS, berisiko gagal menjelang Oktober 2021 sekiranya ekonomi belum dibuka sepenuhnya dan mereka tidak dibenarkan beroperasi ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim mengulas mengenai Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa yang mengatakan kerajaan sedang mencari jalan keluar melaksanakan moratorium pinjaman tanpa faedah untuk peminjam.

Dia berkata kerajaan masih dalam perbincangan dengan institusi kewangan kerana ini melibatkan keputusan komersial antara pengurusan bank.

“Tidak perlu dilengahkan lagi kerana kita sudah berada di bulan Oktober di mana pengecualian faedah selama 3 bulan sepatutnya sudah bermula,” katanya. 

Lim berkata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bertindak segera dengan mengarahkan bank-bank untuk mengusahakan pengecualian pembayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank pada 14 September.

“Terdapat keperluan bagi pemenang disebalik pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi untuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan serta sedang berusaha keras untuk mencari pekerjaan atau meneruskan hidup.

“Salah satu pemenang tersebut adalah industri perbankan, yang keuntungannya terus meningkat ketika perniagaan dan PKS bergelut dengan masalah,” katanya.

Beliau berkata sektor perbankan perlu berkongsi kekayaannya setelah mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM32.3 bilion pada 2019 dan lebih RM23 bilion tahun lalu, walaupun terdapat kemelesetan ekonomi dan diharapkan juga akan berjaya tahun ini.

“Kita sekarang berada di bulan Oktober dan ekonomi masih belum dibuka sepenuhnya,” katanya.

PKS sudah menggaji 7.3 juta rakyat Malaysia tahun lalu yang merupakan 48% dari pekerjaan nasional, tambahnya.

“Oleh kerana pembukaan semula ekonomi sepenuhnya mungkin hanya akan berlaku tahun depan, pengecualian faedah juga perlu melibatkan PKS untuk menyelamatkan mereka daripada kejatuhan perniagaan yang akan berlaku,” katanya.

Lim berkata negara sudah mencatatkan kerugian ekonomi lebih RM500 bilion sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikenakan tahun lalu. 

“Yang paling teruk terjejas adalah sektor pelancongan dengan kerugian RM130 bilion pada tahun 2020 dan kerugian yang lebih tinggi dijangkakan tahun ini. 
“Walaupun jika kerajaan tidak mempertimbangkan pengecualian kadar faedah, penurunan kadar faedah sekurang-kurangnya 2% perlu diberikan untuk industri yang sedang tenat ini,” katanya.

Beliau berkata salah satu syarat penting dalam memorandum persefahaman adalah pengabaian pembayaran faedah moratorium pinjaman bank.

Ini untuk 50% rakyat Malaysia terbawah, dari segi klasifikasi pendapatan untuk jangka masa tiga bulan pada suku keempat 2021, tambahnya. – 4 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen