Mahmud Abbas terima kunjungan delegasi Israel 


Presiden Palestin Mahmud Abbas menerima kunjungan Menteri Kesihatan Israel Nitzan Horowitz, Menteri Koperasi Issawi Freij dan timbalannya Michal Rozin.– Gambar EPA, 4 Oktober, 2021.

PEMIMPIN Palestin Mahmud Abbas menerima kunjungan delegasi dari Israel di Ramallah pada Ahad.

Ia merupakan pertemuan kedua antara kedua-dua pihak dalam masa sebulan, menurut sumber kedua-dua pihak.

Abbas menerima kunjungan Menteri Kesihatan Israel Nitzan Horowitz, Menteri Koperasi Issawi Freij dan timbalannya Michal Rozin yang mana semua mereka adalah dari parti berhaluan kiri Meretz yang sebahagian daripada gabungan pemerintah Israel.

“Presiden menekankan pentingnya untuk tamatkan penjajahan Israel dan mencapai perdamaian yang adil dan global sesuai dengan resolusi antarabangsa,” lapor agensi berita rasmi wilayah itu Wafa.

Abbas juga menekankan perlunya untuk menghentikan penempatan haram dan menamatkan pengusiran keluarga Palestin dari berbagai wilayah di  timur Baitulmaqdis, tambah Wafa.

Anggota Meretz mengulangi sokongan mereka untuk penyelesaian konflik dua negara, untuk negara Palestin yang merdeka dan keperluan untuk membina kepercayaan antara kedua-dua belah pihak.

“Kami mempunyai misi yang sama,” tulis Horowitz di Twitter.

“Untuk mempertahankan harapan perdamaian yang didasarkan pada penyelesaian dua negara.”

Ciapan itu menyertakan gambarnya berdiri bersama Abbas.

Horowitz yang juga pemimpin Meretz telah dikritik oleh pihak kanan di Israel kerana pertemuannya dengan Abbas. – AFP, 4 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen