Korea Utara pulihkan komunikasi dengan Selatan 


Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sebelum ini pernah menyatakan niat untuk memulihkan saluran komunikasi utara-selatan yang terputus.– Gambar EPA, 4 Oktober, 2021.

KOREA Utara akan mengembalikan komunikasi rentas sempadan dengan Korea Selatan bermula Isnin selepas menyekatnya pada Ogos, lapor agensi berita KCNA. 

Keputusan itu dibuat selepas Pyongyang mencetuskan kebimbangan antarabangsa dengan mengadakan beberapa siri ujian peluru berpandu dalam masa beberapa minggu. Ujian itu turut menyebabkan PBB mengadakan mesyuarat kecemasan. 

Kedua-dua negara itu memberi petanda kejutan pada akhir Julai dengan mengumumkan pemulihan komunikasi rentas sempadan, yang terputus sejak lebih setahun sebelum itu. 

Namun pemulihan itu hanya dalam tempoh singkat apabila Korea Utara berhenti menjawab panggilan dua minggu kemudian. 

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un “menyatakan niat untuk memulihkan saluran komunikasi utara-selatan yang terputus,” kata KCNA pada awal Isnin, yang melaporkan langkah itu adalah usaha untuk mewujudkan “keamanan yang berkekalan” di semenanjung Korea.

“Organanisasi yang berkenaan memutuskan untuk memulihkan semua saluran komunikasi utara-selatan dari jam 9:00 pada 4 Oktober,” tambah KCNA.

Pyongyang secara sepihak memutuskan semua hubungan komunikasi tentera dan politik rasmi pada bulan Jun tahun lalu kerana aktivis mengirim risalah anti-Pyongyang merentas sempadan.

Pada 27 Julai, kedua-dua pihak mengatakan semua talian telah dipulihkan.

Pengumuman bersama mereka, yang bersempena ulang tahun berakhirnya Perang Korea, adalah perkembangan positif pertama sejak siri sidang kemuncak antara Kim dan Presiden Selatan Moon Jae-in pada 2018 gagal mencapai kesepakatan. – AFP, 4 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen