Penduduk Ho Chi Minh diancam pencemaran fotokimia


Ho Chi Minh dilanda pencemaran fotokimia terutama semasa musim panas hingga menjejaskan kesihatan penduduknya. – Gambar EPA, 25 Januari, 2018.

BANDARAYA Ho Chi Minh, Vietnam dilanda pencemaran fotokimia yang teruk dan boleh membahayakan kesihatan manusia, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Asap fotokimia disebabkan interaksi radiasi ultraviolet suria, pelepasan asap kenderaan dan industri.

Pencemaran fotokimia kini menjadi fenomena dan kerap berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama semasa musim panas. Ia sering melanda bandar besar seperti Hanoi dan Ho Chi Minh.

Pusat Pemantauan Sumber Alam dan Alam Sekitar Bandaraya Ho Chi Minh memberi amaran kepada orang ramai, terutama kanak-kanak, ibu mengandung dan warga emas supaya tidak menjalankan aktiviti luar. Jika terpaksa keluar rumah orang ramai dinasihatkan memakai topeng muka dan cermin mata.

Selain disebabkan kepadatan bandar dan kesesakan lalu lintas, keadaan diburukkan lagi oleh pencemaran kawasan industri di dua wilayah jiran Dong Nai dan Binh Duong.

Menurut laporan, pencemaran udara melebihi paras dibenarkan di beberapa lalu lintas utama seperti Cat Lai Port, Persimpangan Suong, kawasan Go Vap, jalan raya Dinh Tien Hoang dan Dien Bien Phu.

Kawasan paling tercemar adalah An Suong, selepas tahap kepekatan habuk melebihi 97% dan paras bunyi melebihi 100% berbanding yang dibenarkan. Asap kenderaan antara punca utama pencemaran udara.

Tahun lepas, Bandaraya Ho Chi Minh mempunyai kira-kira 10 juta kenderaan pengangkutan, dan kira-kira dua juta digunakan untuk perjalanan dari wilayah ke bandar.

Kenderaan lama yang tidak diselenggara dengan sempurna antara punca pencemaran udara berlebihan. – Bernama, 25 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen