Jangan anggap BN seperti kelab eksklusif, kata Makkal Sakti


Noel Achariam Ravin Palanisamy

Makkal Sakti tidak berniat merampas kerusi MIC, kata Thanenthiran. – Gambar Facebook, 4 Oktober, 2021.

PARTI komponen Barisan Nasional (BN) tidak boleh berasa rendah diri atau terancam apabila parti luar bergabung dengan mereka untuk mengukuhkan pakatan itu, kata RS Thanenthiran.

Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia itu menyatakan parti seperti mereka mahu bergabung dengan BN untuk membantu gabungan itu menang besar dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, BN memerlukan semua sokongan yang dapat diperolehnya selepas kekalahan memalukan pada pilihan raya umum lalu, yang juga menyaksikan sebahagian besar parti BN tewas.

“Selepas PRU14, kira-kira 10 parti meninggalkan gabungan itu, jadi ada kekosongan. Jadi, kini ada tempat untuk setiap orang (parti lain).

“Oleh itu, mereka yang berada dalam BN seharusnya tidak berasa rendah diri atau terancam. Kita sekarang seharusnya lebih inklusif, tidak eksklusif,” kata Thanenthiran kepada The Malaysian Insight.

Awal minggu lalu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, MIC tidak boleh terlalu sensitif terhadap keputusan BN untuk memberikan kerusi kepada Makkal Sakti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Zahid, yang juga presiden Umno berkata, ia tidak bermaksud parti bangsa India, Makkal Sakti akan mengambil alih kerusi yang sudah diperuntukkan kepada MIC.

“Mengapa terlalu sensitif jika parti mesra BN ini diperuntukkan kerusi?” kata Zahid.

Selain MIC dan Umno, dua parti lain yang kekal dalam gabungan itu adalah MCA dan PBRS Sabah.

Pemimpin MIC enggan memberi komen mengenai Makkal Sakti yang menyertai gabungan itu dan berjuang di platform yang sama.

Makkal Sakti, yang ditubuh pada 2009 daripada kalangan pemimpin yang meninggalkan Hindraf, sering memberikan sokongan kepada BN tetapi tidak pernah diberi kerusi untuk bertanding pada pilihan raya sebelum ini.

Thanenthiran mengulangi pendirian parti itu tidak berniat untuk merampas kerusi MIC atau menggantikannya.

“Apa yang kita mahukan adalah menjadi parti BN. Kami (BN) kalah hebat pada PRU14.

“Hasrat Zahid adalah untuk membawa lebih banyak parti menyokong BN.”

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen