SEBUAH bank pelancongan, pelepasan Covid-19 buat pengilang dan pengecualian cukai menjadi antara senarai keinginan persatuan perdagangan dan syarikat perniagaan bagi Bajet 2022.
Belanjawan itu akan dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen pada 29 Oktober.
Pengusaha pelancongan adalah antara yang paling teruk terjejas kerana perintah kawalan pergerakan susulan pandemik dan memerlukan bantuan dana dalam bentuk insentif, pengecualian cukai dan geran untuk kembali bernafas, kata Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) Uzaidi Udanis.
“2022 akan menjadi sangat kritikal buat kami. Kami perlu melihat bagaimana boleh bangkit dan mulai bergerak maju. Sebilangan besar pengusaha kami lumpuh. Ada yang sudah ditutup.
“Sekiranya pelancongan dapat pulih tahun depan, saya yakin kita dapat melakukan lebih banyak lagi menjelang 2023,” kata Uzaidi kepada The Malaysian Insight.
Lima bidang yang perlu diperhatikan oleh sektor pelancongan adalah produk pelancongan, penyelidikan, pemasaran, digitalisasi dan aspek pengawalseliaan, kata Uzaidi.
Kementerian Kewangan juga harus memberi insentif kepada bank perdagangan untuk memberikan pinjaman kepada pengusaha pelancongan.
“Bank agak ragu-ragu kerana mereka berpendapat industri pelancongan berisiko tinggi.”
Oleh itu, beliau mencadangkan bank pelancongan, sama dengan konsep Agrobank yang melayani sektor pertanian.
“Sekiranya bank perdagangan masih konservatif, sudah sampai masanya kita melihat bagaimana dapat menubuhkan bank pelancongan,” kata Uzaidi.
Jenis bantuan yang diperlukan oleh pengusaha pelancongan adalah pinjaman untuk kos penyelenggaraan kenderaan pelancongan mereka selain pembaharuan cukai jalan.
“Beberapa pengendali memerlukan pinjaman untuk membaik pulih bas pelancongan. Sektor ini mempunyai kira-kira 6,000 bas. Siapa yang sanggup meminjamkan wang kepada mereka?”
Berita penuh di sini.
Komen