MIC putuskan pemilihan parti bulan ini


Vigneswaran berkata, MIC memutuskan untuk mengadakan pemilihan parti kerana negara kini di bawah pentadbiran baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2021.

MAJLIS tertinggi MIC hari ini menetapkan pemilihan parti di peringkat sayap bermula bulan ini dengan penamaan calon pada 10 Oktober.

Presiden MIC S A Vigneswaran berkata pemilihan dan mesyuarat perwakilan bagi sayap Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri parti berkenaan ditetapkan pada 17 Oktober.

“Bagi peringkat bahagian, penamaan calon akan berlangsung pada 17 Oktober manakala mesyuarat dan pemilihan ditetapkan pada 24 Oktober,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat majlis tertinggi MIC di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Vigneswaran, penamaan untuk pemilihan MIC di peringkat negeri, majlis tertinggi dan naib presiden ditetapkan pada 20 November dan pemilihan ditetapkan 27 November.

Beliau berkata, MIC memutuskan untuk mengadakan pemilihan parti kerana negara kini di bawah pentadbiran baharu dan sudah mula menunjukkan tanda untuk keluar daripada pandemik Covid-19.

“Banyak perubahan dari segi statistik (Covid-19) kini. Jadi MIC mengambil kesempatan untuk mengendalikan pemilihan parti,” kata beliau.

Vigneswaran berkata, pemilihan baharu membolehkan ramai muka baharu menyertai parti itu di peringkat akar umbi, bahagian dan negeri bagi menentukan corak dan hala tuju MIC selepas ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan menang dua daripadanya di Tapah dan Cameron Highlands.

Namun pada Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada Januari 2019, MIC memberi laluan kepada calon Umno, Ramli Mohd Nor yang memenangi kerusi itu. – Bernama, 3 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen