TIGA pekerja maut dan lebih 70 mengalami kecederaan parah ketika membina tapak Expo 2020 Dubai, kata pegawai semalam sambil menegaskan bahawa piawaian keselamatan adalah “bertaraf dunia”.
Angka kematian itu didedahkan selepas Parlimen Eropah menyeru untuk memboikot pameran dunia selama enam bulan itu dan mengkritik rekod hak asasi manusia UAE dan amalan tidak berperikemanusiaan terhadap buruh imigran.
Lebih 200,000 pekerja membina tapak expo besar di pinggir Dubai yang mempunyai beratus-ratus astaka dan kemudahan lain di kawasan pameran dua kali lebih besar dari Monaco.
“Ada tiga kematian melibatkan pekerja dan 72 yang lain cedera parah,” menurut kenyataan Expo berkenaan yang turut menyebut kebajikan pekerja sebagai keutamaan.
Dikatakan 247 juta jam kerja diperlukan untuk menyelesaikan pembinaan tapak expo berkenaan dan menambah kekerapan kemalangan lebih rendah dari Britain.
“Kami sudah menetapkan dasar, standard dan proses bertaraf dunia bagi melindungi dan menyokong kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan semua yang terlibat dalam Expo Dubai 2020,” kata kenyataan itu.
Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian yang mengunjungi Expo semalam berkata Perancis “bukan sebahagian dari” resolusi Parlimen Eropah. – AFP, 3 Oktober, 2021.
Komen