Bersatu Putrajaya tidak terjejas, kata Hamzah


Hamzah berkata, Erwan sebenarnya sudah lama meletak jawatan sebagai ketua bahagian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2021.

BERSATU Putrajaya tidak terjejas biarpun sekumpulan ahlinya keluar parti untuk kembali menyertai Umno, kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin.

Hamzah mengulas tindakan bekas ketua bahagian Bersatu Putrajaya Erwan Mohd Tahir mengetuai 120 ahli parti memohon masuk Umno, semalam.

“Bersatu menegaskan bahawa akar umbi dan kepimpinan Bersatu Bahagian Putrajaya sentiasa berada dalam keadaan kukuh dan utuh,” kata Hamzah dalam satu kenyataan.

Hamzah berkata, Erwan sebenarnya sudah meletak jawatan sebagai ketua bahagian Bersatu Putrajaya selepas kalah pemilihan naib presiden parti pada Oktober 2020.

Sejak itu, Bersatu Putrajaya diterajui timbalan ketua bahagian Fathul Azam Hashim, yang memangku jawatan ketua, kemudian mengukuhkan bahagian dengan penubuhan cawangan dan pendaftaran ahli baharu.

“Kepimpinan dan akar umbi Bersatu di semua peringkat sentiasa cekal dan istiqamah menghayati perjuangan parti dan tidak berlandaskan hanya kepada sokongan terhadap seseorang individu,” kata Hamzah.

Semalam, Erwan menyerahkan borang keahlian Umno kepada Ketua Umno Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau keluar Bersatu atas alasan hanya Umno yang memartabat dan mempertahankan hak istimewa Melayu, Perlembagaan Persekutuan dan Raja-Raja Melayu.

“Ini adalah masa yang tepat untuk kembali ke pangkuan Umno setelah melihat parti ini berjaya menamatkan beberapa polemik politik yang menggugat kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi sewaktu pandemik Covid-19 yang membadai negara,” katanya.

Erwan juga mengumumkan sokongan penuh kepada Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri. – 2 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen