Bersatu sedia lawan Umno PRU15, kata Muhyiddin


Bersatu sudah ada pendirian sendiri, kata Muhyiddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2021.

PERTEMBUNGAN Bersatu dan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak dapat dielak, kata Muhyiddin Yassin, sekiranya Umno kekal dengan pendirian menolak untuk bekerjasama.

Presiden Bersatu berkata, partinya bersedia dan mempunyai strategi untuk menghadapi kemungkinan itu, lapor media.

“Secara asasnya mereka akan berlawan dengan kita (pada PRU15).

“Bersatu sudah ada pendirian, kalau Umno tidak mengubah keputusan itu… kalau kita terpaksa bertembung dalam PRU15, kita tiada cara lain untuk mengelakkannya. Itulah realiti politik,” katanya, seperti dipetik Astro Awani di Kota Kinabalu.

Jelas Muhyiddin, apa yang penting dalam pilihan raya bukannya parti politik tetapi penilaian rakyat yang akan memberikan mandat mereka.

“Maksud saya apa pun keputusan parti-parti mana, rakyat yang jadi penentu siapa yang mereka mahu,” katanya, dipetik Free Malaysia Today.

Muhyiddin diminta mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa keputusan Umno tidak bekerjasama dengan Bersatu adalah muktamad.

“Ia bukan sekadar satu ketetapan oleh Majlis Kerja Tertinggi, tetapi lahir daripada suara di peringkat akar umbi pada Perhimpunan Agung Umno 2020,” kata Zahid.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan juga berkata, pendirian Umno muktamad dan hanya boleh diubah melalui perhimpunan agung parti.

Pemimpin kanan Umno membuat kenyataan itu selepas Muhyiddin mengumumkan langkah Perikatan Nasional (PN) merundingkan pengagihan kerusi PRU15 tanpa membabitkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Mereka memulakan langkah itu kerana tiada petunjuk daripada Umno sama ada mahu mendukung PN, kata Muhyiddin.

Hampir lima bulan selepas Perhimpunan Agung Umno 2020 memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, Zahid mengetuai sekumpulan ahli parlimen partinya menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Muhyiddin yang meletak jawatan pada 16 Ogos kemudian diganti oleh naib presiden Umno yang juga timbalan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri kemudian mengekalkan sebahagian besar menteri daripada kabinet Muhyiddin dengan sedikit perubahan dan pertukaran jawatan. – 2 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen