Agenda Keluarga Malaysia bukan hujah tidak mahu makmur bersama


BARU-BARU ini satu surat daripada FMFF (Federation of Malaysian Freight Forwarder) telah tular yang mengkritik keras dasar tindakan afirmatif yang di telah dipersetujui sejak sekian lama berkenaan dasar pemilikan ekuiti 51%.

Perkara ini mendapat liputan yang amat luas daripada media dan malah disebut oleh YB Anthony Loke di dalam sidang Parlimen.

MTEM ingin membuat kenyataan tentang perkara ini setelah berbincang dengan pemain industri termasuklah Persatuan Pengusaha Logistik Bumiputera (PPLB).  

Kita menyangkal kenyataan FMFF yang menghina dasar ekonomi baru dan hak-hak Bumiputera. Ia tidak melibatkan perniagaan pengelola (freight forwarder) tapi hanyalah syarikat ejen penghantaran yang menjalankan aktiviti pembrokeran kastam (customs brokerage).

Dasar ini telah dipersetujui sejak DEB diperkenalkan pada tahun 1971. Ia adalah sebuah tindakan afirmatif untuk membantu meningkatkan penglibatan Bumiputera di dalam sektor logistik dan ianya juga selari dengan Artikel 153 Perlembagaan.

Terdapat pelbagai lesen yang diperlukan dalam sektor logistik tetapi hanya 1 lesen sahaja iaitu Lesen Ejen Penghantaran (forwarding/custom clearance) yang memerlukan 51% ekuiti Bumiputera.

Lesen-lesen pergudangan, pengangkutan, perkapalan, ejen kargo udara (air freight forwarders), pengangkutan darat, perkhidmatan lori rentas sempadan. (cross border trucking), depot simpanan kontena kosong, pengangkutan kontena (haulage), perkhidmatan logistik keseluruhan, integrated logistics license (ILS), bonded storage, pergudangan di kawasan yang diwartakan oleh MOF/MOT, untuk makluman semua lesen  perkhidmatan ini tidak disyaratkan untuk dimiliki 51% oleh Bumiputera.

Malah lesen tersebut boleh diperolehi oleh syarikat 100% bukan Bumiputera.

Perniagaan dari Lesen Ejen Penghantaran hanya terhad kepada kerja yang melibatkan pelepasan kastam sahaja ia tidak merangkumi fungsi lain saperti penghantaran lori, pergudangan dan lain-lain.

Kajian ringkas kami menunjukkan pendapatan dari aktiviti penghantaran secara purata hanya lebih kurang RM100,000 setahun memberi keuntungan bersih lingkungan RM30,000 hingga RM40,000 setahun atau RM4,000 sebulan iaitu berada dalam kategori pendapatan B40.

Boleh dianggap syarikat penghantaran ini secara purata kalau dibandingkan dengan industri binaan mereka tidak lebih dari kategori syarikat Kelas ‘F” atau G1.

Walaupun semua pemain industri sudah tahu tentang ketetapan ini sejak sekian lama, namun kerajaan masih bersikap wajar, kerana pada tahun 2018 telah diputuskan bahawa syarikat ejen penghantaran sebelum 1976 tidak perlu patuh pada syarat ini.

Syarikat yang berdaftar antara 1976 hingga 1990 diminta untuk mematuhi syarat 30% pemilikan Bumiputera manakala selebihnya barulah diminta untuk mematuhi syarat 51% pemilikan Bumiputera.

Syarat modal berbayar untuk syarikat berlesen ini hanyalah RM100,000. Fungsi penghantaran (forewarding and custom clearance) adalah fungsi yang paling rendah nilainya di dalam keseluruhan sektor logistik rantaian nilai (value chain sector).

Jumlah nilai perkhidmatan penghantaran adalah kurang dari 1% daripada RM120 billion – iaitu jumlah nilai “output” keseluruhan sektor logistik. 

Malah kerajaan telah pun meliberalisasikan kebanyakan sektor ekonomi yang mengecilkan ruang dan peluang pemain Bumiputera dalam industri ini untuk mendapat apa apa kelebihan.

Dakwaan dari FMFF yang mengatakan ada desakan kepada kerajaan untuk memaksa pemegang saham  bukan Bumiputera untuk jual (divest) saham mereka kepada Bumiputera adalah tomahan yang tidak  berasas, tidak masuk akal, berniat jahat serta memutar belitkan fakta dan cuba mengeruhkan hubungan  sesama kaum.

Kenapa perlu mereka mendesak jika sudah pun miliki 51% ekuiti? Dakwaan sebegini wajar dikenakan tindakan.

Dapatan kami ramai pemain bumiputera yang tulen dan “genuine” berjaya menjadikan syarikat ejen penghantar sebagai loncatan membina kapasiti dalam industri ini dan bersaing secara terbuka melangkaui  aktiviti ejen penghantar yang terhad itu. Namun dalam sektor logistik Bumiputera masih jauh ke belakang.

Juga, tuduhan hanya golongan elit Bumiputera sahaja yang mendapat keuntungan adalah tidak tepat kerana pendapatan dari perniagaan sebagai ejen penghantaran bukanlah lumayan sangat.

Ini adalah tidak lebih dari usaha untuk mencari dalil untuk mula membasmikan syarat penglibatan bumiputera dalam ekonomi.

MTEM menyarankan FMFF untuk jangan salah tafsir slogan Keluarga Malaysia sebagai tanda isyarat untuk mengagalkan agenda ekonomi bumiputera melalui tindakan afirmatif untuk sektor yang paling kecil dalam industri.

Adakah FMFF lebih suka industri ini didominasi oleh satu kumpulan dan tidak mahu mencipta kemakmuran bersama?

Namun gejala Ali Baba (rent-seeking and spurious-front activities) berlaku kerana kedegilan mereka yang tidak pernah menerima keperluan pemerkasaan Agenda Ekonomi bumiputera.

Persoalannya mengapa mereka melantik bumiputera dari kalangan yang tidak ada nilai tambah?

Dapatan kami mendapati juga ada yang meletakkan pemandu peribadi, pekerja penghantar “dispatch” sebagai pengarah dan pemegang saham. Jika masih ada lagi gejala Ali Baba ini, ia perlu ditangani dengan tegas lebih-lebih lagi terhadap pihak-pihak yang mendalangi aktiviti “sabotaj ekonomi” dengan sepenuh kuasa undang-undang tanpa mengira kaum dan kedudukan.

Sebaiknya “Beneficial Owner” syarikat yang bukan Bumiputera seperti ini  harus dibatalkan lesen mereka.

Malah ketetapan ini sekiranya dilaksana dengan betul akan mengurangkan ruang rasuah sekaligus memastikan mana-mana aktiviti ekonomi tidak diidentifikasikan dengan mana-mana kaum!

Sekiranya sejak awal lagi syarikat Ali Baba mencari rakan niaga bumiputera yang tulen dan “genuine” sudah pasti hari ini  kita mempunyai pemain industri yang berbilang kaum yang kuat dan mampu menandingi pemain industri
antarabangsa.

MTEM memohon Kerajaan YAB Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dapat memberi mesej yang jelas dan terus tegas dalam melaksanakan dasar yang telah ditetapkan dengan beberapa syarat tambahan bukan sahaja dari isu ekuiti tapi memastikan pekerja, pengurus dan pengarah juga melibatkan Bumiputera.

Malah semua pemegang ekuiti Bumiputera itu perlu menghadiri temuduga oleh pihak kastam untuk membuktikan mereka bukan “Ali” dalam syarikat Ali Baba.

Hasutan FMFF ini melagakan keluarga Bumiputera dengan bukan Bumiputra dengan tuduhan yang tidak adil seolah-olah Bumiputera mahu mencuri hak dan kekayaan mereka.

MTEM menyarankan semua golongan untuk tidak menyalahtafsirkan slogan Keluarga Malaysia sebagai tanda isyarat “open season” bagi meningkatkan usaha niat jahat untuk  menggagalkan agenda Ekonomi Bumiputera.

Kita mohon semua pemegang taruh ekonomi Bumiputera bangkit dan sedar, ini adalah serangan terhadap  agenda pemerkasaan bumiputera yang menzahirkan ketamakan pemain industri yang mahu terus  memonopoli pasaran sekaligus mencabar hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan.

Jikalau kerajaan  mengalah, nescaya segala permit dan kelebihan dari pelbagai sektor lain yang diberikan kepada Bumiputera  juga akan terus dipertikaikan. Kata dua harus diberikan kepada mereka ini. – 2 Oktober, 2021.

* Abdul Halim Husin adalah pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen