POLIS perlu menangkap pihak bertanggungjawab memindahkan sekitar 5,000 pengundi dengan latar belakang meragukan ke Wangsa Maju, kata PKR.
Bendahari PKR Tan Yee Kew berkata polis tidak boleh melepaskan tanggungjawab dengan hanya merujuk kes itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Jika jenayah itu dilakukan di bawah Kanun Keseksaan, ia tugas polis untuk siasat,” kata Tan pada satu sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Beliau merujuk kepada Seksyen 177 Kanun Keseksaan yang meliputi kesalahan jenayah bagi sesiapa memberi maklumat palsu kepada penjawat awam.
Semalam, The Malaysian Insight melaporkan tentang kebimbangan PKR mereka akan kehilangan Wangsa Maju, kerusi yang dimenangi dengan majoriti 5,511 undi pada 2013 disebabkan pertambahan hampir 5,000 pengundi yang mempunyai latar belakang meragukan.
PKR melakukan tinjauan pint uke pintu tahun lepas dan berjaya mengesahkan 1,429 pengundi tidak tinggal dalam alamat yang didaftarkan dalam daftar pemilih.
Parti itu juga berjaya mengesan 3,500 pengundi lain terutama yang didaftarkan secara berkumpulan lebih lapan pengundi dalam satu alamat.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Mohammad Roy Suhaimi Sarif memberitahu The Malaysian Insight yang empat laporan polis dibuat oleh mereka yang mewakili PKR telah dilanjutkan kepada SPR untuk tindakan seterusnya.
Jawapan polis kata Tan tidak boleh diterima.
“Selain menahan mereka yang menggunakan alamat palsu untuk mengubah pusat pengundian mereka, pihak yang menjadi dalang pemindahan pengundi besar-besaran ini juga berniat memanipulasi keputusan pilihan raya dan perlu di bawa ke muka pengadilan,” kata Tan.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah berkata polis tidak boleh melengah-lengahkan tindakan apatah lagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bakal diadakan tidak lama lagi.
“Jika pengkritik Perdana Menteri (Najib Razak) boleh ditangkap cepat, mengapa ini ambil masa lama?” tanya Nurul Izzah menambah yang mungkin terlalu lambat jika polis menunggu sehingga selepas pilihan raya untuk bertindak.
Beliau juga menggesa pengundi turun beramai-ramai membuang undi pada PRU14 bagi menghalang cubaan pihak tidak bertanggungjawab memanipulasikan pilihan raya.
Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah semalam berkata terpulang kepada polis untuk bertindak mengenai dakwaan pendaftaran pengundi diragui itu.
Mohd Hashim berkata ini adalah kerana ia adalah kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) serta peraturan berkaitan di bawahnya.
“Jika diperlukan SPR sedia memberikan kerjasama penuh kepada polis untuk melakukan siasatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengesahkan yang SPR menerima surat dari Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju pada 17 Januari mengenai laporan polis tentang pengundi baharu dengan latar belakang meragukan kepada SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara. – 25 Januari, 2018.
Komen