GABENOR California mengumumkan program imunisasi Covid-19 akan diwajibkan kepada semua pelajar di negeri itu, peraturan pertama seumpama itu dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS).
Ia susulan tindakan penduduk menolak vaksin menyebabkan kelewatan proses menamatkan pandemik yang sehingga kini sudah mengorbankan hampir 700,000 penduduk di AS.
Program imunisasi itu akan dilaksanakan secara berperingkat selepas Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) memberikan kelulusan penuh bagi pengambilan vaksin Covid-19 ke atas kelompok usia lebih muda.
Gabenor Gavin Newsom berkata pelajar dikehendaki mendapatkan vaksin Covid-19 untuk mereka kembali ke sekolah.
“Sebelum ini sekolah di negeri ini mewajibkan vaksin campak dan beberapa vaksin lagi. Kenapa? Kerana vaksin berfungsi. Ini untuk memastikan keselamatan dan kesihatan anak,” katanya.
Vaksin Pfizer-BioNTech mendapat kelulusan penuh daripada FDA untuk kanak-kanak berusia 16 tahun ke atas.
“Setelah FDA meluluskan vaksinasi dalam kohort berlainan, bermula dengan 12 tahun dan ke atas, kelas tujuh hingga 12 – kami akan mula menerapkan syarat itu pada penggal berikutnya.
“Kita semua letih dengan pandemik ini,” kata Newsom, menjelaskan peraturan itu akan dikuatkuasakan untuk semua pelajar yang mengikuti kelas di sistem pendidikan kerajaan dan swasta.
Peraturan itu dijangka membabitkan enam juta pelajar di negeri paling ramai penduduk di AS, yang mana 84 peratus daripada penduduknya yang memenuhi syarat mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Pfizer dan BioNTech minggu lalu memaklumkan pihaknya menyerahkan data kepada FDA untuk kebenaran vaksin bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Kanak-kanak menjadi kelompok paling ramai dijangkiti dalam gelombang terbaru yang berpunca daripada varian Delta. – AFP, 2 Oktober, 2021.
Komen