Agensi PBB perlu dana AS$800 juta bantu pelarian Palestin


URNWA harap kutipan dana AS$800 juta daripada persidangan penderma yang dijadualkan di Brussels, bulan depan untuk bantu pelarian Palestin. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2021.

AGENSI Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian Palestin (URNWA) mengharapkan kutipan dana AS$800 juta (RM3.35 bilion) daripada persidangan penderma yang dijadualkan di Brussels, bulan depan.

Ketua Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini berkata pertubuhan itu memerlukan sumbangan berkenaan bagi membiayai tiga aktiviti utama iaitu pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan sosial.

“Kami memerlukan AS$800 juta setahun,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PBB semalam. Persidangan penderma itu dianjurkan Jordan dan Sweden.

“Objektif utama persidangan adalah untuk mempunyai ramalan lebih baik (jumlah kutipan) dan mempromosikan kejelasan” kata diplomat Switzerland itu.

Sumbangan akan membolehkan UNRWA meneruskan operasi 700 sekolah, menyediakan makanan kepada 550,000 kanak-kanak, selain pusat kesihatan dan kebajikan sosial untuk pelarian Palestin dan keluarga mereka.

Lazzarini berkata sumbangan juga diperlukan untuk bantuan kemanusiaan UNRWA di mana jumlahnya berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada krisis dengan agensi menjangkakan kira-kira setengah juta dolar diperlukan untuk 2022.

Lazzarini yang memegang jawatan itu sejak April berkata UNRWA kekurangan AS$100 juta untuk operasinya tahun ini dan memberi amaran agensi itu bakal menutup beberapa aktivitinya pada November dan Disember.

“Hari ini kami terus berjuang untuk mendapatkan tunai.

“Saya selaku ketua pesuruhjaya tidak tahu sama ada minggu akan datang kami mampu membayar gaji 28,000 kakitangan,” katanya.

UNRWA memberikan bantuan kepada lebih lima juta rakyat Palestin yang berdaftar dengan agensi itu di wilayah Palestin, Jordan dan Lubnan. – AFP, 2 Oktober, 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen