Krisis petrol, tentera UK hantar bekalan ke stesen minyak


Kerajaan Britain berkata faktor mendalangi krisis itu berpunca daripada kekurangan pemandu HGV untuk menghantar bahan bakar selain permintaan yang di luar jangka. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2021.

BRITAIN mula mengerah anggota tentera menghantar petrol ke stesen minyak bermula Isnin untuk meringankan krisis susulan kebimbangan kekurangan pemandu lori tangki sehingga menyebabkan pembelian panik.

Kerajaan dalam satu kenyataan berkata hampir 200 anggota tentera, 100 daripadanya pemandu akan dikerahkan untuk menghantar bekalan sokongan sementara.

Ia sebahagian daripada tindakan untuk mengurangkan tekanan di stesen minyak dan menyelesaikan kekurangan pemandu kenderaan barangan berat (HGV).

Keadaan itu menyebabkan kenderaan beratur panjang di stesen minyak di seluruh Britain pada awal minggu, sekali gus mengakibatkan tangki simpanan di stesen semakin kering sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Kerajaan berkata faktor mendalangi krisis itu berpunca daripada kekurangan pemandu HGV untuk menghantar bahan bakar selain permintaan yang di luar jangka.

Bagaimanapun, permintaan terhadap bahan bakar itu stabil sepanjang minggu ini dan stesen minyak secara berperingkat mengisi semula bekalan.

Bagaimanapun, beberapa kawasan di negara itu masih berdepan kekurangan petrol yang serius.

“Hasil usaha industri sepanjang minggu lalu, keadaan di stesen minyak perlahan-lahan bertambah baik,” kata Menteri Perniagaan Kwasi Kwarteng.

“Penting untuk ditekankan tidak ada kekurangan bahan bakar itu di peringkat negara dan orang ramai sepatutnya terus membeli bahan bakar itu secara normal.”

Pemandu tentera diletakkan bersiap sedia pada awal minggu dan turut menerima latihan khusus.

Kerajaan membuat pusingan U untuk mengetatkan dasar imigresen selepas negara itu keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), dengan menawarkan pengecualian visa jangka pendek kepada pemandu trak asing bagi membantu menangani isu kekurangan bahan api.

Operator termasuk Shell, BP dan Esso berkata terdapat banyak bahan api di kilang di United Kingdom serta berharap permintaan akan kembali normal tidak lama lagi. – AFP, 2 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen