Iran kecam Bahrain benarkan Israel buka kedutaan


Pertemuan Menteri Luar Israel Yair Lapid dengan Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa serta pembukaan kedutaan Israel di Bahrain dikecam hebat, disifatkan oleh Iran sebagai sesuatu yang memalukan. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2021.

IRAN pada Jumaat menyifatkan tindakan Bahrain menyambut menteri luar Israel, yang pada hari sebelumnya merasmikan kedutaan negara Yahudi di Manama, sebagai memalukan.

Iran dan Israel merupakan musuh ketat manakala Bahrain salah sebuah daripada empat negara Arab yang telah menormalkan hubungan dengan negara Yahudi sejak setahun lalu.

Bahrain yang diperintah Sunni telah berhadapan tentangan oleh komuniti Syiah. Bahrain menyalahkan Iran atas tentangan itu yang disangkal sepenuhnya oleh Tehran.

“Sambutan memalukan oleh pemimpin Bahrain untuk… rejim yang menduduki Baitulmaqdis, bertentangan dengan kehendak Bahrain,” kata jurucakap kementerian luar Iran Saeed Khatibzadeh dalam satu kenyataan.

Komen itu dikeluarkan setelah diplomat tertinggi Israel Yair Lapid pada Khamis merasmikan kedutaan negaranya di Bahrain, setahun setelah kedua-dua negara menormalkan hubungan dan dalam lawatan rasmi pertama oleh seorang menteri luar negeri Yahudi ke negara Teluk.

Lapid bertemu dengan Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, dalam apa yang dikatakan media Israel sebagai pertemuan umum pertama raja Teluk dengan seorang pegawai Israel.

Khatibzadeh mengecam “semua inisiatif untuk menstabilkan kehadiran Israel yang merosakkan di wilayah itu.”

Kehadiran yang semakin bertambah ini akan menyebabkan ketidakstabilan, tambahnya.

Di samping Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Sudan dan Maghribi semua menjalin hubungan normal dengan Israel sejak setahun lalu.

Sejak 2016, kerajaan Teluk telah putuskan hubungan dengan Iran.

Sementara itu Iran enggan mengiktiraf Israel malah secara konsisten mengangkat dirinya sebagai pembela perjuangan Palestin. – AFP, 2 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen