TURKI pada Jumaat mengecam perjanjian kapal perang multibilion euro antara Perancis dan Greece, memperingatkan perjanjian itu akan mengancam kestabilan wilayah dengan mengasingkan Ankara.
Perancis dan Greece pada Selasa menandatangani memorandum persefahaman yang membolehkan Athens membeli tiga kapal perang Perancis, perjanjian yang disambut oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron sebagai dorongan utama kepada cita-cita pertahanan Kesatuan Eropah (EU).
Namun Turki, yang mempunyai sejarah dan hubungan tegang dengan negara tetangga NATOnya, Greece, mengkritik perjanjian itu sebagai bertujuan menentang Ankara.
“Persenjataan Greece dan pengasingan Turki, bukannya kerjasama, tetapi dasar bermasalah yang akan membahayakan Greece dan EU, selain mengancam keamanan dan kestabilan serantau,” kata jurucakap kementerian luar Turki.
Pada Selasa, Macron berkata penjualan kapal perang itu tidak dimaksudkan sebagai ancaman terhadap Ankara, malah berkata ianya sebagai kaedah untuk sama-sama memastikan keamanan di Laut Mediteranean dan juga di Afrika Utara, Timur Tengah dan Balkan.
Perancis dan Greece menjalin hubungan erat sejak beberapa tahun terakhir, sementara hubungan kedua buah negara itu dengan Turki semakin tegang.
Greece dan Turki mempunyai sejarah perang serta konflik.
Jurucakap kementerian luar negeri Turki Tanju Bilgic pada Jumaat berkata perjanjian kapal perang dengan Perancis adalah sebahagian daripada usaha Greece untuk meningkatkan apa yang disebutnya sebagai “tuntutan zon maritim dan ruang udara” yang “bertentangan dengan undang-undang antarabangsa”. – AFP, 1 Oktober, 2021.
Komen