China lunas bayaran misi pengaman PBB


Wakil tetap China di PBB berkata negara komunis itu sentiasa penuhi tanggungjawab kewangan tepat pada waktunya dengan jumlah yang penuh serta tidak bersyarat.– Gambar EPA, 1 Oktober, 2021.

CHINA selesai melunaskan semua pembayaran bagi 12 misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menurut wakil tetap China di PBB dalam satu kenyataan pada Khamis.

“Sebagai negara membangun terbesar dunia, anggota Majlis Keselamatan PBB, dan negara kedua terbesar yang menyumbang terhadap pentaksiran keamanan PBB.

“China sentiasa memenuhi tanggungjawab kewangan tepat pada waktunya dengan jumlah yang penuh serta tidak bersyarat,” menurut kenyataan itu.

Meskipun sedang berlaku penularan wabak Covid-19 dan peningkatan konflik di beberapa rantau yang turut memberi impak kepada PBB, namun China masih mampu melunaskan pembayaran misi pengaman PBB, sekali gus memperlihatkan sokongan kuat China terhadap usaha PBB dan amalan multilateralisme.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 keanggotaan Republik Rakyat China di PBB dan China sentiasa berusaha ke arah keamanan dunia, menyumbang pembangunan global, memelihara aturan antarabangsa dan menjadi pengeluar produk awam.

Pada masa sama, Inisiatif Pembangunan Global diketengahkan Presiden China, Xi Jinping dalam Debat Umum Perhimpunan Agung PBB baru-baru ini, menunjukkan adanya harapan bersama-sama masyarakat antarabanga terutama negara-negara membangun ke arah pembangunan global dalam situasi sama menang melalui amalan multilateralisme.

China bersedia menyediakan peluang sejagat melalui pembangunan supaya memberi daya motivasi baharu demi pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 PBB. – Bernama, 1 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen