JANGKITAN Covid-19 melonjak tinggi di Syria sejak beberapa minggu terakhir sehingga kemudahan kesihatan mencapai tahap maksimum kata para pegawai kepada AFP pada Jumaat.
Di beberapa kawasan yang paling terjejas, infrastruktur kesihatan penuh sementara bekalan perubatan asas dan dos vaksin kurang.
Seluruh negara Syria menyaksikan peningkatan kes dengan daerah di kawasan utara yang paling parah dilanda gelombang terbaharu pandemik.
Di Idlib, di mana sekitar separuh daripada lebih tiga juta penduduk dipindahkan akibat konflik, jumlah jangkitan harian yang direkodkan meningkat mendadak dan kerap mencapai 1,000 kes sehari.
“Sejak Ogos hingga September, jumlah kes Covid-19 rasmi di barat laut Syria naik 144 peratus kepada 71,715 pada 28 September dengan 1,151 kematian,” kata Save the Children.
Badan amal itu berkata sekarang ini cuma seitar beberapa belas katil unit rawatan rapi sahaja kosong di seluruh wilayah, meminta antarabangsa menghulurkan bantuan kecemasan bagi mengelakkan bencana yang lebih besar lagi.
“Satu kematian akibat Covid-19 sudah cukup banyak, tetapi untuk dengar bayi dan remaja berusia 17 tahun juga maut, ini sangat dahsyat,” kata Sonia Khush, pengarah respons NGO tersebut.
“Dunia tidak boleh berdiam diri,” katanya.
Kes Covid-19 juga meningkat di timur laut negara itu, yang kebanyakannya dikendalikan oleh pentadbiran Kurdish, dan di wilayah dikuasai kerajaan.
Kementerian kesihatan Syria minggu lalu berkata hospital di Damsyik dan di bandar pesisir utama Latakia telah penuh. – AFP, 1 Oktober, 2021.
Komen