Tubuh kumpulan perwakilan tanpa ahli politik selesai isu negara, kata Musa


Alfian Z.M. Tahir

Bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam berkata kini adalah masa yang sesuai untuk semua individu dan kumpulan bekerjasama untuk menyumbang kepada negara.– Gambarfail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2021.

PUTRAJAYA perlu menubuhkan kumpulan perwakilan bagi, tanpa ahli politik, bagi menangani isu negara, kata bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam hari ini.

Beliau berkata demikian susulan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kerajaan dengan Pakatan Harapan untuk kestabilan politik dan pembaharuan institusi.

Bercakap pada forum yang diadakan secara dalam talian hari ini, Musa menjelaskan ini adalah masa yang sesuai untuk semua individu dan kumpulan bekerjasama untuk menyumbang kepada negara.

“Kita semua telah melihat masalah yang sama dan masing-masing mempunyai penjelasan dari sudut mereka sendiri dalam pendekatan pelbagai subjek.

“Tetapi jika kita semua dapat teratur dengan cara yang tidak berpihak dengan fokus dan penuh dedikasi, itu dapat dilakukan,” kata Musa.

Tambahnya isu tadbir urus dalam negara sudah diketahui umum.

“Pada saat-saat yang sedang kita lalui sekarang seperti ketidakpastian pimpinan, pilihan raya umum, penyesuaian semula kelompok politik, tidak ada waktu yang lebih baik daripada ini bagi semua non-partisan untuk bersama-sama menyumbang,” tambahnya.

Musa menyampaikan ucaptama pada Agenda Pembaharuan Kewangan Parti Politik di Malaysia.

Beliau mencadangkan tempoh kumpulan perwakilan tidak boleh lebih dari dua tahun dan kajian yang teliti dilakukan mengenai jumlah keahlian.

“Aktiviti, hak, tanggungjawab dan tugas harus merangkumi keseluruhan tempoh dua tahun tetapi bebas dari campur tangan kerajaan atau ahli politik kepartian.

“Semua perkara yang berkaitan dengan kumpulan itu akan dilakukan dengan persetujuan Yang diPertuan Agong dan akta khas Parlimen perlu dibentangkan dan diluluskan,” tegasnya. – 1 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen