KOREA Utara menguji peluru berpandu antipesawat yang baharu dibangunkan, dalam siri terkini pelancaran ujian senjata baru-baru ini, kata media kerajaan pada Jumaat.
“DPRK menguji peluru berpandu antipesawat yang baru dibangunkannya pada 30 September,” lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), menggunakan singkatan nama rasmi negara itu.
“Prestasi tempur luar biasa peluru berpandu sudah disahkan, dengan pengenalan teknologi utama baharu,” tambah KCNA.
Ujian ini susulan beberapa siri pelancaran senjata, termasuk satu pada minggu ini yang didakwa negara bersenjata nuklear itu adalah peluru berpandu hipersonik, yang berpotensi sebagai game-changer kerana ia mampu terbang lima kali lebih laju.
Ujian tersebut mencetuskan kegelisahan antarabangsa, dengan Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis menggesa mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Korea Utara yang akan berlangsung pada Jumaat.
Awal bulan ini, Pyongyang mengumumkan berjaya melancarkan peluru berpandu jarak jauh, selepas mengadakan perarakan kecil tentera.
Program senjata nuklear dan peluru berpandu balistik negara itu dilarang berdasarkan resolusi Majlis Keselamatan PBB, dan boleh dikenakan sekatan antarabangsa.
Korea Utara belum menunjukkan kesediaan melepaskan program senjatanya, yang menurutnya perlu mempertahankan diri daripada pencerobohan AS, sekutu negara jiran Korea Selatan.
Washington dan Seoul adalah sekutu keselamatan, dan AS menempatkan sekitar 28,500 tentera di Selatan untuk melindunginya dari negara jiran.
Bulan lalu, kedua-duanya mengadakan latihan ketenteraan bersama yang sering membangkitkan kemarahan Pyongyang.
Pada Khamis, Setiausaha Negara AS Antony Blinken berkata Korea Utara menambah “ketidakstabilan dan ketidakamanan” setelah ujian senjata baru-baru ini. – AFP, 1 Oktober, 2021.
Komen